Kadang-kadang terfikir kenapa agaknya di Malaysia ini bila kita berbeza pendapat dan ideologi, kita akan ditohmah dan dilabel dengan pelbagai perkara yang buruk.
Di Malaysia ini kalau berkumpul ramai-ramai untuk menyuarakan sesuatu lebih-lebih lagi bantahan, dianggap sebagai perosak keharmonian Negara. Di Negara demokrasi lain aktiviti ini dianggap sebagai menyuarakan suara dan pendapat. Tak perlu permit polis mahupun kebenaran mana-mana pihak.
Hanya kerana kau mengundi parti selain Kerajaan, kau akan dicop sebagai pengkhianat, tak tahu dek untung, tak mengenang budi dan sebagainya. Bukankah ini menunjuk demokrasi berjalan secara sihat?
Hanya kerana kau tidak setuju dengan dasar atau pimpinan Kerajaan, kau akan dilabel sebagai mengancam keselamatan Negara. Bukankah berbeza pendapat itu adalah perkara normal?
Hanya kerana kau memperjuangkan untuk menegakkan agama Allah, kau akan dikatakan sebagai ekstrimis. Bukankah perjuangan menegakkan agama Allah itu adalah tanggugjawab semua penganutnya?
Hanya kerana kau memperjuangkan hak kaum lain, kau akan dilabel sebagai pengkhianat bangsa. Bukankah semua hak patut diperjuangkan tanpa mengira warna kulit?
Hanya kerana kau berhalauan kiri, mengangkat panji tukul dan sabit, kau akan dilabel komunis, tidak percaya pada agama dan tuhan. Hanya kerana perbezaan itu kau ditohmah sebagai jahil, sesat dan sebagainya. Tapi sedarkah kau yang berbeza cuma pendapat dan ideologi, sedangkan kita bernafas dalam syahadah yang sama.
Rambut sama hitam, hati lain-lain. Lain padang , lainlah belalangnya. Pelik kalau semua orang pakai baju biru. Mestilah ada yang berbaju hijau, berbaju kuning, berbaju biru dan berbaju merah. Itu lumrah.
Entahlah. Mungkin di Malaysia ini berbeza pendapat adalah tidak dibenarkan. Semua kene angguk-angguk dan geleng-geleng jer. Kalau macam itulah keadaannya, tak perlu ada parlimen. Tak perlu juga pilihanraya. Membazir duit dan buang masa.
No comments:
Post a Comment