Ini bukan cikgu aku |
Kualiti keperibadian seseorang itu diukur dengan kualiti keperibadian orang di sekelilingnya. Itulah kesimpulan mudah yang dibuat berdasarkan “Hukum Tarikan”. Orang yang hebat akan menarik orang-orang yang hebat untuk berdamping dengannya. Sebab itu ada bijak pandai berkata, kalau hendak tahu bagaimana keperibadian sesorang individu itu, lihatlah keperibadian orang-orang disekelilingnya.
Begitulah hal bagi guru. Guru yang hebat akhlak dan tinggi keperibadiannya akan membentuk anak-anak guruan yang hebat akhlak dan tinggi keperibadiannya. Sebagaimana acuannya, begitulah bekas nya.
Aku bersyukur kerana sepanjang tempoh aku menduduki bangki sekolah sehinggalah ke menara gading, aku dikelilingi guru-guru yang sangat hebat keperibadian mereka. Sehingga kini, kata-kata hikmat, nasihat-nasihat sakti dan denda-denda keramat masih mengalir dalam hemoglobin darah ku.
Aku bukanlah seorang pelajar cemerlang, jauh untuk menjadi pelajar yang terbaik. Namun senakal-nakal aku, tidak pernah aku memaki hamun guru-guruku didepan mahupun belakang. Tidak pernah terlintas untuk memancit atau menoreh kereta guru-guru yang menghukum aku. Segala kutilan keras, hayunan rotan dan penampar mentah, aku tadah sepasrah-pasrahnya.
Sempena hari guru ini aku panjatkan doa kemuliaan dan kerahmatan ke hadrat Ilahi, semoga dosa guru-guruku diampunkan. Semoga guru-guruku sentiasa diberkati dan dilimpahi kenikmatan. Sungguh, pengorbanan dan jasa mereka tidak terbalas oleh kudratku, tidak terpikul oleh pundak ku. Hanya Yang Esa mampu memberi balasan syurga buat mereka keran disitulah layaknya mereka berada.
Kerana guru, aku mengenal erti pahit manis perjuangan kehidupan. Kerana guru jualah, aku terus berdiri walau sebelah kaki, bangkit setelah rebah, dan tabah dikala dilanda kerumitan.
Terima kasih Cikgu...Kerana sudi memanggilku murid mu.
No comments:
Post a Comment