Mari Lihat Piramid Kuasa Dunia |
Kadang-kadang simpati bila memikirkan nasib anak-anak muda zaman sekarang (termasuklah diri aku sendiri). Dengan keadaan ekonomi yang tak tentu arah, keadaan politik yang macam sampah, anak-anak muda dilihat hilang arah dalam mengikut arus kehidupan sekarang.
Media dan kerajaan mencanangkan ekonomi kita semakin pulih, namun aku yang buta ekonomi ini pun boleh merasakan bahawa ekonomi kita masih tidak kemana-mana. Peluang-peluang kerja masih sukar untuk direbut, taraf hidup semakin tinggi dengan peningkatan harga barang-barang keperluan asas.
Kadar inflasi sebanyak 1.50% dan kadar pengangguran 3.50% masih menyesakkan rakyat marhein. Indeks jenayah masih tinggi seakan-akan memerli PDRM khususnya IGP dan Ketua-Ketua Polis Negerinya. Indeks Persepsi Rasuah merosot dengan skor hanya 4.5 berbanding Singapura 9.2, memberi isyarat bahawa kewujudan SPRM tidak dapat membantu membersihkan negara dari barah rasuah.
Anak-anak muda ditipu hidup-hidup. Mereka dipancing dengan pinjaman pembelajaran untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat ijazah. Maka berduyun-duyunlah anak-anak muda melangkah ke menara gading dengan harapan dapat mengubah kehidupan mereka. Seraya memasang angan-angan yang tinggi untuk bekerja sebagai eksekutif atau pegawai sejurus selepas graduasi.
Realitinya pahit, selepas graduasi dan melangkah ke alam pekerjaan, barulah mereka sedar betapa sempitnya ruang pekerjaan untuk graduan-graduan berijazah tidak berpengalaman seperti mereka. Yang mudah mengalah, balik kampung tanam anggur. Yang tabah, memilih untuk terus bekerja walaupun jawatan dan gaji tidak setimpal dengan lulusan. Yang cerdik, mulakan perniagaan sendiri walaupun kecil-kecilan. Yang hilang arah tujuan, sambung belajar lagi ke peringkat Sarjana.
Kenapa aku katakan anak-anak muda ditipu? Kerana belum kerja lagi, mereka telah bergelar penghutang! Ya, penghutang kepada Ah Long yang paling licik, PTPTN. Maka hari ini lahirlah generasi hamba hutang. Bekerja siang malam hanyalah untuk membayar hutang.
Tak cukup dengan itu, baru kerja setahun dah nak berkereta. Berhutang lagi. Gali lubang. Tutup lubang. Kemudian nafsu mengawan dah tak boleh tahan, nak beristeri. Berhutang lagi nak buat majlis kenduri dan hantaran.
Entahlah. Apa agaknya nasib generasi hamba hutang ini. Sama-samalah kita perhatikan hasilnya dalam 10 tahun akan datang.
Jadi macam ni agaknya...
No comments:
Post a Comment