Wednesday, December 16

MENCARI CINTA...


“Di sana dik, cinta ada di sana. Ia kudus dan kekal abadi!” Sambil tangannya menunding ke arah sebuah binaan berkubah. Menaranya tinggi dan tegap. Bulan dan bintang di hujung menara itu melambangkan ketinggian martabatnya. Jika dibuat teka teki menara apakah yang paling tinggi di dunia, tentulah jawabnya menara masjid. Kerana menaranya mencecah bulan dan bintang.

Aku tersenyum pahit. Memang betul seperti katanya. Saat aku beri’tikaf dalam masjid, aku rasakan frekuensi yang nyaman, getaran – getaran yang begitu positif. Namun urusan dunia memaksa aku mempercepatkan langkah ku meninggalkan rumah Allah. Ya, hanya seminggu sekali aku mengunjungi masjid. Untuk solat jumaat. Amat menyedihkan, hati aku merengek bak anak kecil yang butuh belaian kasih seorang ibu. Hati ku juga perlukan belaian. Hati ku perlukan CINTA. Mencintai dan dicintai. Itulah fitrah bergelar insan.

Hidup ini bagaikan suatu misi. Misi mencari cinta. Telah banyak aku temui cinta sepanjang perjalanan hidup yang setahun jagung ini. Saat kelahiran ku, aku dibesarkan dengan cinta suci yang tak berbelah bahagi. Ayah dan bonda. Itulah pengerang jantung hatiku. Hidup ku didedikasikan untuk meraikan cinta mereka berdua. Kerana cinta keduanya maka terwujudlah aku ke alam duniawi ini.

Aku belajar bercinta bermula saat aku melangkah ke sekolah. Cintakan insan istimewa yang bergelar guru. Ku rasakan cinta mereka begitu ikhlas. Cinta yang diibaratkan lilin membakar diri. Bekorban untuk menerangi hati ku yg masih belum di jamah cahaya ilmu. Terasa dada ini ditindih batu sebesar pemeluk, sebak mengenangkan pengorbanan para guru. Seperti menyusu kera di hutan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah pengorbanan guru-guru. Bekorban demi anak-anak yang tiada hubungan darah daging.

Kawan. Sahabat. Musuh. Saat itu aku masih terlalu mentah untuk membezakan antara ketiga-tiganya. Rumitnya bagai membezakan permata di dalam timbunan kaca. Lalu aku bercinta dengan semuanya. Namun cinta mereka terhadap ku beralas. Bersebab. Ada kalanya cintaku tak bersambut. Ada kalanya cintaku disalah ertikan. Dan ada waktunya aku dimusuhi kerana cinta ku. Dalam kekalutan cinta hipokrasi aku temui jua cinta yang kononnya sejati lagi suci.

Cinta terhadap pencinta yang bergelar kaum hawa. Hanyut, aku merasakan aku telah temui pelengkap misi hidupku. Aku serahkan jiwa dan raga. Aku korbankan segala-galanya. Namun ku rasakan cinta yang ku canangkan sejati lagi suci masih belum lengkap. Jiwa ku masih kosong. Masih merintih untuk dicintai. Akhirnya cinta yang aku tatangi terlerai tanpa sebarang kesudahan. Teringat kata Aiman dalam cinta terakhir;

Mungkin kan terputus di tengah jalan
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir...

Mungkin kitakan berbeza haluan
Berakhirnya cerita percintaan
Segalanya ditentukan Tuhan....


Segalanya ketentuan Tuhan. Aku pasrah dengan takdir. Akhirnya aku sedari cinta yang aku cari-cari ada pada yang Maha Penentu. Sungguh naïf! Cinta yang aku cari selama ini telah ujud dalam hatiku. Cuma seringkali aku abaikan. Seringkali aku butakan. Aku tertunduk malu. Malu pada diri sendiri.

Sedari kecil aku diajar bersolat. Di rotan apabila melalaikannya.Aku diajar berpuasa. Dihukum apabila meninggalkannya.Dipaksa ke kelas mengaji kitab Furqan yang akhirnya menjadi sebahagian dari hidupku. Namun mereka gagal menjelaskan kenapa aku perlu melakukan semua itu. Wajib? Perintah Nya? Melopong. Aku masih terlalu mentah untuk menghadam semua dalil-dalil yang diajukan. Justeru aku akur tanpa soal bicara.

Setiap hari aku dimomokkan dengan azab neraka. Kedahsyatan siksaan neraka jahanam. Balasan-balasan Allah terhadap orang-orang yang berdosa. Taat.aku perlu taat segala perintah Nya. Taqwa. Aku perlu bertaqwa kepada Nya. Hasilnya segala ibadah yang aku lakukan hanyalah kerana takutkan neraka. Mahu kan balasan syurga. Bukan kerana cinta.Tidakkah itu tak ikhlas namanya? Aku bingung.

Aku dihukum dengan dosa-dosa lampau ku. Aku didenda apabila tersilap langkah. Bukankah fitrah manusia itu belajar dari kesilapan? Keampunanan. Kemaafan. Suatu konsep yang sangat asing dalam masyarakat kita. Lebih gemar menghukum. Lebih gemar mengkafirkan dan menerakajahannamkan orang-orang yang tersilap langkah tersalah percaturan.

Cuma yang aku cari hanyalah cinta. Cinta kudus dan hakiki. Cinta yang tak pernah kunjung kecewa. Cinta yang manis dan memaniskan. Itulah cinta ILAHI. Cinta rabbi. Kenapakah semenjak kecil aku tidak di ajar bercinta dengan pencipta ku? Sehingga aku terkial kial mencari cinta selain dari cinta rabbi. Kenapa sedari kecil aku tidak diajar menyayangi yang Maha Penyayang? Kenapa semenjak lahir aku diajar takut dengan yang Maha Pengasih? Syurga? Neraka? Itu bukan hak aku untuk meminta-minta Ya Rabb. Kurniakanlah cintaMu padaku. Semoga aku bisa mencintaiMU lebih dari aku cintakan bidari-bidari MU. Lebih dari aku cintakan syurga Mu.Amin ya rabbal ‘alamin.

4 comments:

Unknown said...

terharu baca entry nih... u r a very good writer, aden... cinta manusia: satu yg mengelirukan bg saya. redha n berserah je. cinta Allah: unquestionable. undeniable. suci. tulus. ikhlas.

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad said...

TaHniah, mge dikecapi cinta Hakiki

zura said...

Berikan hatimu kepada ALLAH
Pasti ALLAH temukan padamu pemilik terbaik
Hamparkan masamu seluasnya hanya untuk ALLAH
Pasti AlLAH aturkan kehidupanmu dengan baik

sekadar berkongsi...sebab ini yang menjadi visi...

Alina Wardah said...

jangan di cari cinta manusia jika masih belum kecap kasih allah.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails