Thursday, December 24

Cemburu Saudara Baru.


Cemburu. Cemburu pada saudara baru? A.k.a muallaf. Ya. Aku cemburu pada mereka. Kenapa nak cemburu? Pasti ada yang akan bertanya sedemikian. Sekurang-kurang mahu juga bertanya. Bererti mahu juga mengambil kisah atau mengetahui. Aku suka orang bertanya. Tiada istilah soalan bodoh dalam kamus aku. Yang bodoh hanyalah yang tiada soalan untuk ditanyakan! Yang sadis adalah yang memeram persoalan, segan untuk bertanya kerana takut ditertawakan. Takut dikatakan jakun, jahil dan bebal. Sendiri fikir. Andai tidak bertanya soalan, bagaimana nak tahu jawapannya? Bertanyalah.

Apa kaitan muallaf dengan suka bertanya? Jelas. Hubungannya sangat nyata. Muallaf adalah golongan yang mencari, bertanya, dan berfikir tentang tanda-tanda kewujudan tuhan yang esa. Golongan yang dahagakan jawapan. Seperti menyelesaikan puzzle. Menyusun, mengumpul segala klu, memadan dengan klu yang sedia ada. Menunggu kepingan puzzle terakhir untuk melengkap suatu pencarian. Kepingan terakhir itulah HIDAYAH. Hidayah adalah privilege. Hak eksklusif yang Allah berikan kepada hamba-hamba Nya yang mahu mencari kebenaran.

Jika sedar akan hakikat itu. Janganlah kamu mengatakan si dia itu kafir, si dia itu munafik, si dia itu kufur. Maka kamu menjauhi mereka. Mencaci, menghina dan menjijikkan hati kamu dengan susuk mereka. Kamu meletakkan diri mu lebih mulia dari mereka. Kerana kamu bertudung, berhijab, dan berjubah. Mereka berambut blonde, berskrit pendek, dan berbaju spaghetti. Kerana kamu berkopiah, berbaju ala raihan, dan berseluar slack bergosok. Mereka berambut Mohawk, berbaju tengkorak, dan berseluar jeans ketat koyak. Kamu ke usrah, ke majlis ilmu, dan ke masjid. Mereka ke club, ke gig, dan ke konsert. Adakah kamu lagi mulia berbanding mereka? Atas dasar apa kamu meletakkan kamu lagi mulia dari mereka disisi Allah? Kerana hidayah itu adalah hak Allah. Bukannya hak kamu untuk mensyurga nerakakan hamba Nya yang lain. Kamu tak layak untuk menghukum. Kerana hakim yang maha adil hanyalah DIA.

Dialah Al-Muqsityang maha adil, Al-Khafidyang merendahkan makhluknya, dan Al- Rafikyang meninggikan makhluknya. Insafilah hakikat ini.

Alkisahnya dengan saudara baru. Aku punyai jiran yang menyewa rumah bonda ku di kampong. Ayyub dan Aisyah. Suami isteri yang berasal dari Selangor. Merantau ke Terengganu. Ditinggalkan kaum keluarga. Jauh dari sepupu sepapat. Semata-mata mencari kebenaran Islam dan menjaga akidah.Mereka dikurniakan 3 orang anak. Rumah yang disewa mereka bukanlah besar. Jika nak dibanding dengan bungalow jauh panggang dari bara! Hatta tak layak dibanding dengan flat murah mahu perumahan rakyat. Rumah itu cuma 1 bilik, 1 bilik air, 1 dapur dan ruang tamu yang sekangkang cicak.( kangkang cicak lagi kecil dari kangkang kera!)

Namun disitulah anak beranak menumpang teduh. Melempiaskan lelah seharian. Disitulah teratak kasih sayang mereka. Ayyub tak berapa fasih berbahasa melayu. Aisyah lagi expert kot. Anak-anak mereka pun pelat cakap melayu. Kalau mereka bergaduh terkeluarlah cong ceng cong ceng mereka tu. Aku hanya melopong sambil tersengih macam kerang busuk.Heh. Ayyub ni keje sebagai pemandu van MAIDAM. Aisyah tukang masak kat restoran masakan cina muslim tak jauh dari rumah mereka.

Aku kagumi ketabahan Ayyub. Dalam sibuk mencari sesuap rezeki, dia tak pernah lupa untuk bercinta dengan ‘tuhan baru’ nya. Masjid tak pernah jemu dari menyambut kedatangannya.Sejadah tak pernah bosan melayan rintihan hatinya dan kehangatan sujud dahinya. Kitab-kitab ilmu tak pernah letih menjawab persoalan hatinya yang bertubi-tubi. Sedimikian juga halnya dengan Aisyah. Mereka umpama dilahirkan didunia tanpa cahaya. Gelap gelita. Bila berjalan selalu tersadung. Terjatuh dalam lubang atau longkang. Terlanggar dinding. Namun perjalanan harus diteruskan.

Maka Allah kurniakan pada mereka cahaya HIDAYAH. Apabila mendapat cahaya barulah mereka sedar yang mereka telah susuri jalan yang salah. Jalan yang penuh jerangkap samar dan fatamorgana. Apabila mendapat cahaya mereka mula menyedari rupanya sepanjang perjalanan menyusuri kegelapan, badan mereka luka-luka, lebam-lebam, dan calar balar. Mereka mencari penawar. Mereka menerokai jalan yang baru. Berbekal cahaya yang mereka temui.

Aku cemburui cahaya itu. Cahaya itu yang membuat mereka merasa manisnya iman. Cahaya itu membuatkan mereka sanggup menyerahkan segalanya. Demi memeliharanya. Demi mempertahankannya. Cahaya itu menjadi mereka dahagakankan ilmu. Teruja mencari jawapan. Cahaya itu membuka hati mereka dengan cinta yang maha agung. Sungguh hebat implaksi cahaya itu.

Aku dilahirkan dalam terang. Aku berjalan dengan bersuluh. Namun aku tak mampu untuk melihat. Aku tetap tersadung walau terang lagi bersuluh. Tetap terjatuh longkang. Tetap terlanggar dinding. Tetap terluka kakiku dek duri dan onak sepanjang jalan. Dunia yang terang menyebabkan aku tidak teruja untuk mencari cahaya itu. Aku menjadi malas untuk mencari jalan untuk mendapatkan cahaya itu. Sehinggalah aku sedar, aku telah parah terluka sepanjang perjalanan. Aku baru sedar parut-parut luka di tubuhku adalah akibat dari perbuatan diriku sendiri. Aku berjalan sambil menutup mata! Aku berjalan dengan membabi buta. Membuta tuli.

Kini aku kepingin akan cahaya itu. Kini aku mengidamkan cahaya itu. Tuhan, kurniakanlah aku cahaya itu. Nur HidayahMU. So I can see – not just look. So I can hear – not jus listen.

*Takee is wondering how the whole world look at Muslim now.

1 comment:

Unknown said...

insyaAllah.... di mana ade kemahuan di situ ade jalan... berdoa n berusaha. pesanan ini tuk saya gaks =)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails