Mutakhir ini kedengaran syor supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan. Jadi ramailah pihak yang memberi pendapat dan pandangan. Ada bersetuju dan ada juga tidak bersetuju. Pastinya, taukey-taukey pusat tuisyen akan kecut perut dengan berita ini. Periuk nasi mereka bakal ditabur pasir. Begitu juga pembikin buku-buku kerja, soalan-soalan peperiksaan lepas dan penerbit buku rujukan. Pasti ada kedengaran Sasbadi atau Pelangi akan kerugian besar.
Itulah realiti di negara ini. Pendidikan menjadi sebuah perniagaan. Bak kata orang putih, "Education is wise business".
Ramai berhujah, tidak wajar dimansuhkan kerana bimbang nanti pelajar tiada arah tuju dalam mengharungi hari-hari di sekolah. Ye lah, dah tak ada exam, nak buat apa lagi ke sekolah? Sejujurnya, anak-anak kita tidak tahu kenapa harus ke sekolah. Tapi mereka hanya tahu, setiap peperiksaan yang ada mestilah dijawab dengan sebaik mungkin untuk mendapat markah yang tinggi. Begitulah juga yang belajar sampai peringkat ijazah sekalipun, hanya tahu mau lulus. Dengan harapan, masa depan mereka lebih terjamin.
Kita sebenarnya masih jahil kerana masih belum memahami hakikat pendidikan itu bukanlah semata-mata cemerlang dalam peperiksaan. Pendidikan itu adalah bertujuan untuk membentuk individu berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Ini termaktub dalam klausa Falsafah Pendidikan Negara.
Nah, sejauh manakah peperiksaan itu relevan dengan falsafah ini? Apakah dengan peperiksaan semata-mata kita dapat mencapai hasrat murni pendidikan negara kita ini?
Sudah terbukti yang sistem pendidikan kita hanya melahirkan anak-anak muda yang tinggi IQ nya tetapi rendah EQ nya. Hari ini, IQ tidak mampu memjamin kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian negara. Lihatlah keruntuhan akhlak dan moral anak-anak muda kita. Tak kira di sekolah atau di peringkat pendidikan tinggi, keruntuhan akhlak dan moral masih membarah.
Pendapat saya, bukanlah sahaja UPSR atau PMR perlu dimansuhkan, tetapi seluruh sistem pendidikan kita perlu rombakan atau penilaian semula. Kita memerlukan suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan insan yang bukan sahaja tinggi intelektual, tetapi juga tinggi akhlak dan keperibadiannya. Bukannya pendidikan pembodohan. (Baca disini)
Supaya nanti, generasi ini akan lahir sebagai politikus yang jauh pandangannya dan tajam pemikirannya. Politikus seperti ini akan melantik pegawai kerajaan yang amanah dan tidak korup. Pegawai kerajaan yang seperti ini akan menyelia penjawat awam yang berjati diri dan tinggi akhlaknya. Dengan ini semua, kita akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang aman dan sejahtera.
Nampak tak betapa pentingnya institusi pendidikan ini?
1 comment:
yerp.. setuju.. amat perlu rombakan semula.. lebih2 lagi bila tgk adik2 yg sasau bila pergi dunia luar adoi
ainshahajar
Post a Comment