Jumaat sini harinya cuti. Bangun pagi-pagi pergi beli nasi dagang atau nasi minyak untuk buat sarapan. Pergi pantai, hampar tikar buruk, bersantapan di gigi ombak. Sambil memuji keindahan panorama matahari menyinsing. Sendawa halus dibawa angin pantai yang ayu menyapa pipi.
Jumaat sini, gotong royong masjid. Anak-anak muda berseluar jeans koyak berlenggang-lenggok menari bersama penyapu dan penyedok sampah. Dipunggah semua isi longkang, disapu seluruh dewan sembahyang. Setelah kepenatan, air bandung menjadi pembasah tekak yang kekontangan. Sambil berborak kosong dengan poket yang kosong, kuih-kuih tradisi menjadi hidangan.
Jumaat sini, sang ayah memimpin tangan si kecil. Tercungap-cungap langkah si kecil mengikuti irama langkah besar sang ayah. Berduyun-duyun insan mengatur langkah ke masjid, ada yang asing hadirnya, ada yang sentiasa hadirnya. Langkah diatur penuh tenang, tiada kekalutan, tidak berkejar-kejaran.
Jumaat sini, khutbahnya berskrip. Khatibnya ada kala tergagap-gagap cuba melembuti lidah yang semakin keras. Isi skripnya selalu kosong, terkadang melopong. Jemaah nya sunyi, tiada langsung kedengaran walau sayup-sayup suara anak-anak berlari-larian.
Jumaat sana harinya bekerja. Bangun pagi bersarapan ala kadar. Melangkah ke kantor bersama tiket tol ataupun touch n go. Sambil mengagumi keindahan susunan kenderaan. Asap lori dan bas menjadi haruman badan.
Jumaat sana, masjidnya kosong. Tiada bergotong royong. Yang mundar mandir hanyalah AJK masjid dan penjaja ubat kuat yang setia dibawah payung. Minuman dan makanan? Sekali sekala adalah kawan yang tolong payung. Mau hari-hari? Tak dapek den nak nolong.
Jumaat sana, si kecil berjalan sendirian. Terbongkok -bongkok menggalas bagasi yang lebih besar dari tuan. Ayah dan bonda sibuk mencari nafkah seharian, tinggallah si kecil berlari larian. Yang bertali leher berseluar slack, melangkah luas, kalut mengejar waktu lunch. Takut nanti tak sempat nak bedal nasi sepinggan.
Jumaat sana, khutbahnya lantang. Khatibnya lancar melontarkan ayat-ayat dan perkataan. Isi bermanfaat untuk dibuat hidangan, tapi sayang anak-anak kecil masih berkejar-kejaran, tanpa ada tangan yang cuba menghalang.
*Dah tiba masanya kita selaraskan cuti hari Jumaat, sepertimana kita selaraskan harga minyak dan gula.
No comments:
Post a Comment