Friday, July 2

Mana Jati Diri?



Jati diri. Apakah ia jati diri? Biasa sangat kita dengar. Selalu sangat kita jumpe dalam pelbagai penulisan. Jati diri menurut Kamus dewan ialah sifat atau ciri yg unik dan istimewa (dr segi adat, bahasa, budaya, agama dsb) yg menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dsb, identiti: pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan ~ bangsa dan semangat patriotik yg utuh; pengisian program kebudayaan ini penting bagi membentuk sahsiah dan ~ belia masa ini.

Ada faham ke? Kalau ikut kamus aku sendiri, jati diri ialah suatu perilaku yang terhasil daripada semangat cinta atau sayang terhadap suatu entiti yang penting dalam hidup kita. Contohnya, cintakan negara. Dari dulu aku perhatikan masyarakat kita ini, termasuk empunya diri sangatlah rendah jati diri. Buktinya kita boleh tengok disekeliling kita.

Bahasa

Dari segi bahasa, rasanya lagi 50 tahun, rakyat Malaysia tidak lagi bertutur dalam bahasa Melayu. Kalau berdasarkan keadaan sekarang lah. Namun jika ada usaha-usaha untuk kembali memartabatkan Bahasa Melayu sebagai lingua franca, mungkin kita boleh macam Kesultanan Melayu Melaka. Semua yang datang berdagang ke Pelabuhan Melaka pada masa itu tidak dapat tidak kena cakap Bahasa Melayu. Mat Saleh ke, pak arab ke, macha india ke, apek china ke, semua cakap Bahasa Melayu. Hari ini sesetengah isitilah harian seperti tandas dan telefon bimbit tersangat janggal untuk digunapakai. Kita lebih selesa guna istilah toilet dan handphone.

Bukan tak elok guna bahasa Inggeris ni. Tapi janganlah sampai mendaulatkan bahasa penjajah hinggakan bahasa ibunda di anak tirikan. Cuba bayangkan jikalau tulisan Jawi tidak dihapuskan, hari ini kita pergi mana-mana, semua papan tanda dalam tulisan Jawi. Kan gah nama nya tu. Macam kalau pergi Thailand, semua tulisan Siam. Pergi Jerman, semua tulisan Jerman. Barulah ada identiti.

Cuba menjadi orang barat

Suka mengagungkan apa sahaja yang datang dari luar. Semuanya hebat di mata kita. Asalkan ia berasal luar dari Malaysia. Terutamanya dari barat. Suka sangat ikut orang barat. Cara hidup orang barat, cara makan orang barat. Terkadang terlupa, kita ini orang timur. Orang barat yang datang sini nak tengok budaya orang timur yang katanya kaya dengan adat dan pekerti mulia. Kecewa, yang kelihatan hanyalah orang-orang timur yang cuba menjadi orang barat.

Berpakaian cara barat. Barulah dikatakan moden. Barulah dikatakan up to date. Tapi kalau kita lihat Jepun dan Korea. Mereka tak hairan pun dengan apa-apa yang datang dari barat. Mereka mendaulatkan bahasa mereka, berpakaian cara mereka, makan cara mereka, dan lihatlah di mana mereka sekarang?

Tiada identiti

Mungkin kita harus mengakui bahawa bangsa Malaysia sudah hilang identiti. Setelah lebih 50 tahun merdeka, kita masih dijajah dari segi pemikiran. Kita masih mencari-cari formula untuk mencapai integrasi dan keharmonian kaum. Sedarlah, bukan negara kita sahaja yang berbilang kaum. Amerika pun berbilang kaum, Indonesia pun berbilang kaum. Yang ajaibnya, mereka berjaya menyatupadukan pelbagai kaum menjadi satu rupabangsa.

Selagi kita masih melakonkan teater politik perkauman, selagi kita belum berbicara dengan bahasa yang sama, selagi itulah kita tidak akan ada jati diri. Kita sebagai individu tidak banyak yang dapat dilakukan. Semua tergalas dipundak para pemerintah. Terpulang kepada mereka untuk mencorakkan rupabangsa kita yang masih tidak berwajah.

Bukalah minda. Keluar dari pemikiran sempit dan jakun. Cintailah ilmu. Semoga dengan ilmu kita dapat keluar daripada belenggu pemikiran dunia ketiga. Aminn..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails