Tuesday, January 26

Bila raja dihina oleh pacal yang hina.

Saat ini sedang berlaku kekalutan mengenai isu menghina Almarhum Sultan Johor. Memang kalut sungguh. Mana-mana je semua bercakap pasal kekalutan ni. Kat kedai kopi ke, kat beranda surau ke, atau kat bilik gerakan Pemuda UMNO sekalipon. Semua maklum blogger Aduka Taruna (AT) menyerah diri setelah beberapa laporan polis dibuat ke atas tulisannya yang jelas menghina Sultan Johor.


AT hanyalah satu watak dalam drama kekalutan ini. Namun tulisannya menbuatkan aku terfikir. Berapa ramai lagikah AT yang bersembunyi dalam hati rakyat marhaen. AT hanyalah pacal yang hina, namun berani meluahkan isi hatinya yang jelas merasa sangat jijik terhadap Almarhum. Entah apa dosa Almarhum terhadapnya.. Aku rasa ramai lagi yang sependapat dengan AT. Tapi terdiam bisu,tertunduk malu. Hanya memendam rasa. Takutkan isa. (bukan Isa Samad.tapi ISA)


Raja-raja dahukala selalu dikaitkan dengan Tuhan. Jelmaan Tuhan la. Anak Tuhan la. Raja-raja selalu dimomokkan mempunyai keramat dan sakti. Jika menderhaka pada Raja-raja, nescaya muntah berdarahlah tujuh keturunan. Jika hamba rakyat yang dipanggil mengadap kebawah duli, maka tercabutlah sendi-sendi dan bergetarlah rusuk-rusuknya kerana takutkan Raja itu.


Hakikatnya pada zaman kegemilangan empayar Melayu Melaka, Sultan adalah tulang belakang disebalik kemegahan tamadun Melaka yang diasaskan pada 1400. Sultan-sultan yang memerintah empayar Melaka bermula dengan Sultan Iskandar Syah sehinggalah Sultan Mahmud Syah adalah pemimpin yang hebat. Kaya dengan ilmu agama, ilmu alam, dan ilmu hisab. Pakardalam ilmu persilatan mahupun strategi ketenteraan. Pendek kata memang tersangat wajarlah mereka dihormati, diagung-agungkan, dan disembah rakyat jelata yang majoritinya tidak mendapat pendidikan tinggi.


Kenapa agaknya dizaman ini hamba rakyat sudah berani menderhaka? Sudah berani menghina dan mengkritik Sultan. Mungkin rakyat jelata sudah jelak melihat krisis yang menimpa istana semenjak dua ini.Mungkin juga rakyat jelata mulai sangsi dengan fungsi Sultan dan Raja ini. Mungkin rakyat jelata melihat kewujudan Sultan pada hari ini hanyalah semata-mata satu simbolik terhadap kuasa Raja-Raja Melayu. Sedangkan pada hakikatnya kuasa Raja-Raja Melayu sudah lama terhapus dek revolusi pemodenan Tun Mahathir. Yang tinggal hanyalah angkatan tentera Diraja Malaysia dan polis Raja diMalaysia.


Aku juga terfikir. Apa sumbangan besar Raja-Raja Melayu pada zaman moden ini? Sekadar ketua adat istiadat dan agama sahajakah? Atau sekadar penaung negeri dan menjaga kesinambungan warisan nenek moyang dahulu kala? Kalaupun begitu, tidaklah aku menentang institusi Beraja ini. Cuma harus diperhalusi akan fungsi-fungsinya dan risionalnya.


Hamba rakyat sekarang sudah berpendidikan tinggi. Mungkin rakyat merasakan mereka lebih cerdik dan terpelajar dari sultan-sultan dan raja-raja zaman moden ini. Oleh itu golongan istana perlu mengambil inisiatif. Lahirkanlah kembali Sultan dan Raja yang berkarisma, berkreadibiliti dan berilmu persis Almarhum Sultan Iskandar Syah. Agar nanti hamba rakyat kembali merasa tenang dan selamat dibawah naungan istana.


nota penulis: tak kiralah Sultan, Perdana Mentri hatta Makcik Kantin sekali pun, jika tuan punya badan sudah dipanggil mengadap Ilahi, janganlah dihina dan diaibkannya dengan dosa-dosanya yang silam. Apatah lagi jika dia adalah seagama dengan kita. Berdoalah agar Allah ampunkan dosa-dosa nya.Sekadar renungan.



cadangan: tengok wayang cina bertajuk Bodyguards and Assasins. bagaimana peritnya Dr Sun Yat Sen untuk menjatuhkan Dinasti Beraja terakhir China, Dinasti Ming.provokasikan minda untuk berfikir.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails