Wednesday, April 6

MENCARI BAHAGIA


Dulu pernah aku coretkan kisah MENCARI CINTA. Ini adalah kesinambungan akan coretan mengarut mengaban itu.

Bahagia atau kebahagian. Kebahagian adalah sangat berkait rapat dengan kegembiraan. Tanpa kebahagiaan, pelawoklah kalau kita katakan kita sedang dalam kegembiraan. Sedarkah kita, semua yang kita lakukan secara sedar atau tidak diatas dunia ini, adalah untuk mencari pengertian dan mengecapi nikmat kebahagian.

Ya, kita tercipta untuk beribadat dan memuja yang Maha Pencipta. Itu adalah hakiki. Tidak perlu disangkal lagi.

Oleh itu, aku lontarkan sehelai soalan kepada benak kita semua, “Apa yang kita cari dalam hidup ini?”

Soalan yang mudah, namun tidak ada jawapan yang sebenar-benar benar. Terpulang kepada individu untuk merangka karangan jawapannya. Lantas kita terfikir, apa yang diperlukan untuk bahagia?

Adakah harta yang menggunung? Mengejutkan, harta yang melimpah ruah tidak mampu untuk memberi kebahagian. Mungkin kamu mampu mengecapi kesenangan dan kemewahan. Lagi mengecewakan, semua itu bukanlah kunci kepada kebahagian.

Lantas kita terfikir lagi, apa yang diperlukan untuk bahagia?

Adakah dengan pangkat yang tinggi? Mengejutkan, pangkat yang tinggi juga tidak mampu untuk memberi kebahagian. Mungkin mampu untuk mengecapi sanjungan dan menjadi kebanggakan orang sekeliling. Lalu terkedu lagi, semua itu bukanlah kunci kepada kebahagian.

Buntu. Setelah kita berhempas pulas, membanting tulang empat kerat, menfokuskan seluruh kudrat dan pemikiran kita untuk memburu kejayaan dalam kerjaya, mengumpul harta sebanyak mungkin, namun setelah kita mengecapi semua itu.. Masih tertanya-tanya, apa erti bahagia.

Akhirnya jikalau kamu mahu mencari, kamu pasti akan temui. Erti sebenar kebahagian itu adalah KEREDHAAN. Ya, kamu akan bahagia apabila kamu mencari keredhaan.

Carilah keredhaan yang Maha Esa, carilah keredhaan kedua ibu bapa. Dan carilah keredhaan kepada diri sendiri. Pernah tak terfikir? Penjual air tebu ditepi persimpangan jalan masih mampu tersenyum dengan jualannya walaupun pada hari hujan. Kerana dia redha akan rezeki yang diterimanya. Kerana dia mencari rezeki yang diredhai oleh Penciptanya.

Seorang OKU (tiada kaki dan tangan) yang menjual kerepek di Pasar Kedai Payang masih mampu tersenyum melayan pelanggan yang menjengah ke gerainya. Kerana dia redha akan takdir kekurangan dirinya. Kerana dia mencari rezeki yang diredhai oleh Penciptannya.

Walau siapa pun kita, walau apa pun yang sedang kita hadapi, redhalah dengan apa sedang kita kecapi. Dengan keredhaan itu, maka akan berputiklah kesyukuran. Sesungguhnya bersyukur itu akan menambahkan kekentalan hati yang sedang tabah dan bersabar.

Namun bukanlah redha itu bermaksud kamu berputus asa dan malas berusaha! Redha itu adalah kunci untuk kamu berbahagia walau dalam apa pun ketentuan-Nya. Wallahu ‘alam.





1 comment:

アイ マ ン said...

Inilah jawapan bagi persoalan kehidupan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails