Friday, April 22

Wawasan Bermalas-malasan


credit ZHUAN
Aku disogok dengan idea Wawasan 2020 semenjak dari bangku sekolah. Ya. Aku adalah salah seorang daripada produk, hasil dari dasar-dasar pemerintahan era 80an oleh Tun M. Bezanya, aku adalah antara produk yang gagal kerana aku suka melakukan satu perkara bangang yang dipanggil “berfikir”.

Waktu itu, aku masih ingat lagi, aku membayangkan Malaysia pada tahun 2020 adalah sebuah Negara yang maju, yang sangat maju dari segi infrastruktur dan teknologinya. Oh ya, aku pernah memasuki pertandingan melukis bertemakan Wawasan 2020 pada zaman sekolah rendah. Dan tahukah kamu, aku telah memenangi tempat ke-3, hasil daripada imiginasiku yang kreatif dan inovatif. Ceewaahh.

Mungkin waktu itu jangkaun pemikiran aku sebagai kanak-kanak adalah terbatas. Aku rasakan bahawa Wawasan 2020 ini bakal menjadi kenyataan. Namun setelah 20 tahun lebih menumpang hidup dibumi bernama Malaysia ini, aku mula mengerti yang wawasan itu masih jauh untuk digapai walau dengan galah sekalipun.

Nah, sekarang sudah 2011, kita hanya ada masa sembilan tahun sahaja lagi untuk mencapai angka tersebut. Dengan keadaan politik, ekonomi dan pembangunan yang kita sedang kecapi sekarang, menampakkan lagi kesukaran untuk mencapai wawasan yang diimpikan itu. Kebelakangan ini, aku terfikir, masyarakat yang sebagaimanakah yang akan menghuni Malaysia pada tahun 2020 nanti?

Oh agak kaget aku memikirkannya. Buntu. Melihat keadaan masyarakat sekarang, mungkin pada tahun 2020 nanti kita masih ditakuk lama. Atau lebih menakutkan, kita menjadi masyarakat yang porak poranda. Akuilah, dengan modal insan yang kita ada sekarang, sungguh, rasanya jauh benar wawasan itu pada jangkaun kita.

Andai sesuatu tidak dilakukan, sembilan tahun dari sekarang kita akan menghadapi masalah yang besar. Buktinya? Tengok sajalah politikus-politikus kita. Masih sibuk merompak dan menyamun harta kekayaan Negara. Jauh sekali untuk duduk semeja berdiskusi masalah anak bangsa. Duk kalut menjaga kantung dan tembolok sendiri. Negara masih ternganga menunggu disuapkan hasil royalti minyak seperti anak burung yang belum pandai terbang menunggu disuapkan emaknya.

Tengoklah di institut pengajian tinggi, mahasiswa-mahasiswa yang lahir kebanyakkan tin kosong. Cemerlang akedemiknya, tapi jahil ilmu dan cetek pemikirannya. Mana tidaknya, yang memimpin IPT ini kebanyak politikus yang memakai jubah Doktor dan Professor. Bebal lagi membebalkan. Bobrok lagi menyusahkan.

Paling membimbangkan, budaya masyarakat sekarang. Budaya berhibur dan malas berfikir. Kalau yang rajin membaca pun, kebanyakkannya bahan-bahan hiburan. Tengok cerita pun yang seram-seram. Realiti tv jadi peneman. Selebriti,artis dijadikan pedoman. Ish, banyak lagi kalau nak sebut. Tapi segan dan silu pada diri sendiri. Macam membuka pekung didada sendiri.

Yang pasti, 9 tahun lagi. Polis trafik masih sibuk buat roadblock nak sekat Mat Rempit berlumba. PDRM masih buat diskaun saman setahun sekali. Ada lagi akan bunuh diri terjun bangunan pejabat SPRM. Graduan IPT masih terkial-terkial mencari rezeki sesuap nasi. AADK masih sibuk buat ujian air kencing di kelab-kelab malam. RELA dan Immigresen masih tekun mengejar pendatang haram saban malam. Politikus masih sibuk bermain wayang politik murahan. Bayi-bayi luar nikah masih dibuang ditepi-tepi longkang. Konsert Jom Heboh masih hangat mendapat sambutan. Fesyen rambut Justin Bieber masih jadi ikutan. Anak-anak muda masih setia terkinja-kinja di pusat-pusat hiburan. Dan Anwar Ibrahim masih lagi ketua pembangkang. Tu pun kalau dia tak masuk penjaralah. Sekian.

Wednesday, April 6

MENCARI BAHAGIA


Dulu pernah aku coretkan kisah MENCARI CINTA. Ini adalah kesinambungan akan coretan mengarut mengaban itu.

Bahagia atau kebahagian. Kebahagian adalah sangat berkait rapat dengan kegembiraan. Tanpa kebahagiaan, pelawoklah kalau kita katakan kita sedang dalam kegembiraan. Sedarkah kita, semua yang kita lakukan secara sedar atau tidak diatas dunia ini, adalah untuk mencari pengertian dan mengecapi nikmat kebahagian.

Ya, kita tercipta untuk beribadat dan memuja yang Maha Pencipta. Itu adalah hakiki. Tidak perlu disangkal lagi.

Oleh itu, aku lontarkan sehelai soalan kepada benak kita semua, “Apa yang kita cari dalam hidup ini?”

Soalan yang mudah, namun tidak ada jawapan yang sebenar-benar benar. Terpulang kepada individu untuk merangka karangan jawapannya. Lantas kita terfikir, apa yang diperlukan untuk bahagia?

Adakah harta yang menggunung? Mengejutkan, harta yang melimpah ruah tidak mampu untuk memberi kebahagian. Mungkin kamu mampu mengecapi kesenangan dan kemewahan. Lagi mengecewakan, semua itu bukanlah kunci kepada kebahagian.

Lantas kita terfikir lagi, apa yang diperlukan untuk bahagia?

Adakah dengan pangkat yang tinggi? Mengejutkan, pangkat yang tinggi juga tidak mampu untuk memberi kebahagian. Mungkin mampu untuk mengecapi sanjungan dan menjadi kebanggakan orang sekeliling. Lalu terkedu lagi, semua itu bukanlah kunci kepada kebahagian.

Buntu. Setelah kita berhempas pulas, membanting tulang empat kerat, menfokuskan seluruh kudrat dan pemikiran kita untuk memburu kejayaan dalam kerjaya, mengumpul harta sebanyak mungkin, namun setelah kita mengecapi semua itu.. Masih tertanya-tanya, apa erti bahagia.

Akhirnya jikalau kamu mahu mencari, kamu pasti akan temui. Erti sebenar kebahagian itu adalah KEREDHAAN. Ya, kamu akan bahagia apabila kamu mencari keredhaan.

Carilah keredhaan yang Maha Esa, carilah keredhaan kedua ibu bapa. Dan carilah keredhaan kepada diri sendiri. Pernah tak terfikir? Penjual air tebu ditepi persimpangan jalan masih mampu tersenyum dengan jualannya walaupun pada hari hujan. Kerana dia redha akan rezeki yang diterimanya. Kerana dia mencari rezeki yang diredhai oleh Penciptanya.

Seorang OKU (tiada kaki dan tangan) yang menjual kerepek di Pasar Kedai Payang masih mampu tersenyum melayan pelanggan yang menjengah ke gerainya. Kerana dia redha akan takdir kekurangan dirinya. Kerana dia mencari rezeki yang diredhai oleh Penciptannya.

Walau siapa pun kita, walau apa pun yang sedang kita hadapi, redhalah dengan apa sedang kita kecapi. Dengan keredhaan itu, maka akan berputiklah kesyukuran. Sesungguhnya bersyukur itu akan menambahkan kekentalan hati yang sedang tabah dan bersabar.

Namun bukanlah redha itu bermaksud kamu berputus asa dan malas berusaha! Redha itu adalah kunci untuk kamu berbahagia walau dalam apa pun ketentuan-Nya. Wallahu ‘alam.





Tuesday, April 5

Dedikasi Khas

Entri ini saya tujukan khas buat seorang teman yang cukup istimewa. Istimewanya bukanlah kerana kami ini mempunyai hubungan istimewa ala-ala Romeo dan Juliet. Jauh sekali persis Laila dan Majnun.

Istimewanya dia adalah kerana kewujudannya sendiri.

Saya mengenali dia semenjak zaman kanak-kanak lagi. Sungguh, sejak mula mengenali beliau, saya kagum dengan keperibadiannya, kecerdasan akal nya dan kelembutan tutur susila nya.
Saya yakin dan pasti, dia akan menjadi sosok yang akan memberi sumbangan signifikan kepada masyarakat. Bangga tak terkata apabila mendapat khabar yang dia diberi tawaran istimewa belajar ditahap tertinggi dalam pendidikan formal, iaitu kedoktoran. Oh ya, dia tak perlu melalui peringkat sarjana. Sarjana itu hanyalah kacang bagi dia.

Mungkin kamu tertanya-tanya, kenapa dia diberi keistimewaan ini? Jawapannya mudah, keran dia adalah insan yang istimewa.

Namun akhir-akhir ini, saya agak runsing melihat teman saya ini terumbang ambing dipukul badai kehidupan. Hendak saya tumpangkan beliau ke dalam kolek saya, tiadalah cara. Kolek saya ini pun masih terhuyung hayang dibadai ombak dugaan.

Terlihat keringat dan kerutan putus asa pada raut wajahnya. Saya tertunduk sayu. Mengapa dia tidak yakin akan kelebihan dan keistimewaan yang dia ada? Sedangkan saya yakin dan optimis, ke muara jua destinasinya nanti.

Saya percaya kepada dia, lebih dari dia percayakan dirinya sendiri.

Alangkah baik jika dia yakin dan percaya, yang dia pasti akan berjaya

Dan alangkah baiknya jika dia tabah dan tidak berputus asa.

Andai kata memang sudah takdir dari azali, yang dia akan kecundang di medan itu. Tidaklah sekali-kali saya akan berduka. Kerna saya tahu, dia telah berjuang sehabis kudratnya. Namun hancur luluh hati ini, jikalau dia mengalah dipertengah jalan. Melabuhkan sauh tatkala sedang di pelayaran.

Walau hidup kadang tak indah, Walau langit kadang tak cerah.
Bersabarlah, mentari pasti bersinar. Senyumlah, kerana itu adalah penawar.
Allah tahu apa yang ada didalam hati kita, didepan jua dibelakang kita.
Berusahalah, bertawakkalah. Kejayaan itu pasti didalam genggaman kamu jua.

Selamat Hari Lahir.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails