Thursday, August 12

Panas Terik


Ramadhon menurut terjemahan harfiah bermaksud "panas terik". Kebiasaannya, memang cuaca dibulan Ramadhon panas dan kering. Dan pabila meniti minggu pertama Aidul Fitr, biasanya hujan.Alhamdulillah. Ku panjatkan jutaan kesyukuran kepada tuan punya dunia, Allah S.W.T kerana diberi peluang untuk merasai Ramadhon pada tahun ini.

Agak lama tak mengemaskini blog ini. Kebelakangan ini saya tersangat sibuk menguruskan Ayahanda tercinta dihospital. Alhamdulillah, Ayahanda telah dibenarkan pulang. Namun masih jauh untuk sembuh sepenuhnya. Mengimbau kembali kenangan Ramadhon tahun lepas. Saya dan bonda tercinta berpuasa hampir sebulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu. Tidak pernah terlintas dek akal saya dan bonda akan menghabiskan hampir keseluruhan Ramadhon di hospital menjaga dan menguruskan Ayahanda yang sakit teruk.

Apabila ditoleh kembali kebelakang, mengenang susah payah berbuka, bersahur dan tidur dibawah katil hospital, saya hanya tersenyum. Sungguh luar biasa pengalaman yang Allah berikan buat saya. Sangat menginsafkan. Sangat menyentuh hati.

Satu perkara yang saya belajar sepanjang berpuasa di hospital ialah, mati itu adalah pasti. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Tidak kira kecil besar, tua atau muda. Dan hidup itu tesangatlah singkat. Hinggakan ada yang mengatakan hidup itu umpama senggang waktu antara azan dan solat. Kita lahir disambut dengan azan, dan kita mati nanti akan "diucapkan" selamat tinggal dengan solat.

Kalau kita mengerti betapa singkatnya hidup itu, nescaya kita akan manfaatkannya sebaik mungkin.

Hidup bukan sekadar untuk berhibur. Hidup bukan sekadar untuk mencari rezeki sesuap nasi. Hidup bukan sekadar menghabiskan seumur usia membayar hutang-hutang bank. Hidup adalah lebih daripada itu. Ayuh, marilah kita sama-sama mencari erti hidup di dunia ini.

Bagi yang tekun menjalani ibadah puasa, selamat berpuasa diucapkan. Bagi yang hanya berpuasa mengikut trend, selamat berpuasa juga diucapkan. Semoga Ramadhon kali ini tidak akan berlalu begitu sahaja seperti tahun-tahun sudah. Semoga Allah menerima ibadah puasa kita, dan semoga ibadah puasa kita ini akan dapat membantu kita di padang Mahsyar kelak.

Sedikit peringatan, dalam kita ghairah menjalani rukun Islam ketiga ini, janganlah diabaikan rukun Islam kedua yakni Solat. Sesungguhnya berpuasa tanpa bersolat umpama membina rumah tanpa tiang. Akhir kata, berhati-hati di jalan raya. Jangan gopoh untuk mengejar waktu berbuka! Sepanjang Ramadhon ini jalan raya kita akan bertukar menjadi lebih bahaya daripada Falujah mahupun Ghaza! Jadi berhati-hatilah. Ingat yang tersayang sedang menunggu kepulangan kita di rumah.

Salam Ramadhon Kareem.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails