Alhamdulillah. Setelah sebulan kita bersengkang mata dan berhempas pulas melawan nafsu serakah kita, akhirnya Syawal menjelma menandakan kemenangan pada yang tekun menjalani ibadah puasa dan pelbagai ibadah yang lain.
Sesungguhnya, bagi yang memanfaatkan ibadah puasa sepenuhnya untuk memperbaiki diri dan kualiti ibadah, Ramadhon yang pergi akan meninggalkan seribu satu kenangan manis buat mereka. Lebih-lebih lagi bagi para pemburu Al-Qadar.
Mungkin bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini, kedatangan Syawal lebih diagung-agungkan berbanding kedatangan Ramadhon. Sudah menjadi tradisi turun temurun masyarakt kita, beraya sebulan. Terpulanglah. Itu hak masing-masing. Namun bagi yang mengerti, kedatangan Syawal disambut dengan perasaan sayu dan pilu kerana kedatangan Aidul Fitr menandakan keberangkatan pulang Ramadhon. Dan belum tentu kita akan ketemu kembali Ramadhon edisi yang akan datang. Teruskan berdoa supaya dipanjangkan umur dan disihatkan tubuh badan kita supaya Ramadhon yang akan datang bakal kita sambut dengan penuh keterujaan.
Masjid akan kembali lengang. Subuh dan Maghrib kembali di anak tirikan. Tapi sekurang-sekurangnya pada yang mengimarahkan rumah Allah pada bulan Ramadhon, syabas dan tahniah diucapkan.
Juga menjadi tradisi masyarakat Melayu Islam, kita bermaaf-maafan di Aidul Fitr. Jadi dikesempatan Syawal edisi tahun ini, saya ingin memohon ampun dan maaf buat semua teman-teman dan pembaca blog Dari Luar Tempurung. Maaf juga dipohon kerana saya tidak giat menulis pada bulan Ramadhon dek kerana kesibukkan mengasuh Ayahanda tercinta yang sedang gering.
InsyaAllah selepas ini saya akan kembali aktif menulis dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang blogger tegar.
Allahuakhbar...Allahuakhbar...Walillahilhamdu.