Friday, April 22

Wawasan Bermalas-malasan


credit ZHUAN
Aku disogok dengan idea Wawasan 2020 semenjak dari bangku sekolah. Ya. Aku adalah salah seorang daripada produk, hasil dari dasar-dasar pemerintahan era 80an oleh Tun M. Bezanya, aku adalah antara produk yang gagal kerana aku suka melakukan satu perkara bangang yang dipanggil “berfikir”.

Waktu itu, aku masih ingat lagi, aku membayangkan Malaysia pada tahun 2020 adalah sebuah Negara yang maju, yang sangat maju dari segi infrastruktur dan teknologinya. Oh ya, aku pernah memasuki pertandingan melukis bertemakan Wawasan 2020 pada zaman sekolah rendah. Dan tahukah kamu, aku telah memenangi tempat ke-3, hasil daripada imiginasiku yang kreatif dan inovatif. Ceewaahh.

Mungkin waktu itu jangkaun pemikiran aku sebagai kanak-kanak adalah terbatas. Aku rasakan bahawa Wawasan 2020 ini bakal menjadi kenyataan. Namun setelah 20 tahun lebih menumpang hidup dibumi bernama Malaysia ini, aku mula mengerti yang wawasan itu masih jauh untuk digapai walau dengan galah sekalipun.

Nah, sekarang sudah 2011, kita hanya ada masa sembilan tahun sahaja lagi untuk mencapai angka tersebut. Dengan keadaan politik, ekonomi dan pembangunan yang kita sedang kecapi sekarang, menampakkan lagi kesukaran untuk mencapai wawasan yang diimpikan itu. Kebelakangan ini, aku terfikir, masyarakat yang sebagaimanakah yang akan menghuni Malaysia pada tahun 2020 nanti?

Oh agak kaget aku memikirkannya. Buntu. Melihat keadaan masyarakat sekarang, mungkin pada tahun 2020 nanti kita masih ditakuk lama. Atau lebih menakutkan, kita menjadi masyarakat yang porak poranda. Akuilah, dengan modal insan yang kita ada sekarang, sungguh, rasanya jauh benar wawasan itu pada jangkaun kita.

Andai sesuatu tidak dilakukan, sembilan tahun dari sekarang kita akan menghadapi masalah yang besar. Buktinya? Tengok sajalah politikus-politikus kita. Masih sibuk merompak dan menyamun harta kekayaan Negara. Jauh sekali untuk duduk semeja berdiskusi masalah anak bangsa. Duk kalut menjaga kantung dan tembolok sendiri. Negara masih ternganga menunggu disuapkan hasil royalti minyak seperti anak burung yang belum pandai terbang menunggu disuapkan emaknya.

Tengoklah di institut pengajian tinggi, mahasiswa-mahasiswa yang lahir kebanyakkan tin kosong. Cemerlang akedemiknya, tapi jahil ilmu dan cetek pemikirannya. Mana tidaknya, yang memimpin IPT ini kebanyak politikus yang memakai jubah Doktor dan Professor. Bebal lagi membebalkan. Bobrok lagi menyusahkan.

Paling membimbangkan, budaya masyarakat sekarang. Budaya berhibur dan malas berfikir. Kalau yang rajin membaca pun, kebanyakkannya bahan-bahan hiburan. Tengok cerita pun yang seram-seram. Realiti tv jadi peneman. Selebriti,artis dijadikan pedoman. Ish, banyak lagi kalau nak sebut. Tapi segan dan silu pada diri sendiri. Macam membuka pekung didada sendiri.

Yang pasti, 9 tahun lagi. Polis trafik masih sibuk buat roadblock nak sekat Mat Rempit berlumba. PDRM masih buat diskaun saman setahun sekali. Ada lagi akan bunuh diri terjun bangunan pejabat SPRM. Graduan IPT masih terkial-terkial mencari rezeki sesuap nasi. AADK masih sibuk buat ujian air kencing di kelab-kelab malam. RELA dan Immigresen masih tekun mengejar pendatang haram saban malam. Politikus masih sibuk bermain wayang politik murahan. Bayi-bayi luar nikah masih dibuang ditepi-tepi longkang. Konsert Jom Heboh masih hangat mendapat sambutan. Fesyen rambut Justin Bieber masih jadi ikutan. Anak-anak muda masih setia terkinja-kinja di pusat-pusat hiburan. Dan Anwar Ibrahim masih lagi ketua pembangkang. Tu pun kalau dia tak masuk penjaralah. Sekian.

Wednesday, April 6

MENCARI BAHAGIA


Dulu pernah aku coretkan kisah MENCARI CINTA. Ini adalah kesinambungan akan coretan mengarut mengaban itu.

Bahagia atau kebahagian. Kebahagian adalah sangat berkait rapat dengan kegembiraan. Tanpa kebahagiaan, pelawoklah kalau kita katakan kita sedang dalam kegembiraan. Sedarkah kita, semua yang kita lakukan secara sedar atau tidak diatas dunia ini, adalah untuk mencari pengertian dan mengecapi nikmat kebahagian.

Ya, kita tercipta untuk beribadat dan memuja yang Maha Pencipta. Itu adalah hakiki. Tidak perlu disangkal lagi.

Oleh itu, aku lontarkan sehelai soalan kepada benak kita semua, “Apa yang kita cari dalam hidup ini?”

Soalan yang mudah, namun tidak ada jawapan yang sebenar-benar benar. Terpulang kepada individu untuk merangka karangan jawapannya. Lantas kita terfikir, apa yang diperlukan untuk bahagia?

Adakah harta yang menggunung? Mengejutkan, harta yang melimpah ruah tidak mampu untuk memberi kebahagian. Mungkin kamu mampu mengecapi kesenangan dan kemewahan. Lagi mengecewakan, semua itu bukanlah kunci kepada kebahagian.

Lantas kita terfikir lagi, apa yang diperlukan untuk bahagia?

Adakah dengan pangkat yang tinggi? Mengejutkan, pangkat yang tinggi juga tidak mampu untuk memberi kebahagian. Mungkin mampu untuk mengecapi sanjungan dan menjadi kebanggakan orang sekeliling. Lalu terkedu lagi, semua itu bukanlah kunci kepada kebahagian.

Buntu. Setelah kita berhempas pulas, membanting tulang empat kerat, menfokuskan seluruh kudrat dan pemikiran kita untuk memburu kejayaan dalam kerjaya, mengumpul harta sebanyak mungkin, namun setelah kita mengecapi semua itu.. Masih tertanya-tanya, apa erti bahagia.

Akhirnya jikalau kamu mahu mencari, kamu pasti akan temui. Erti sebenar kebahagian itu adalah KEREDHAAN. Ya, kamu akan bahagia apabila kamu mencari keredhaan.

Carilah keredhaan yang Maha Esa, carilah keredhaan kedua ibu bapa. Dan carilah keredhaan kepada diri sendiri. Pernah tak terfikir? Penjual air tebu ditepi persimpangan jalan masih mampu tersenyum dengan jualannya walaupun pada hari hujan. Kerana dia redha akan rezeki yang diterimanya. Kerana dia mencari rezeki yang diredhai oleh Penciptanya.

Seorang OKU (tiada kaki dan tangan) yang menjual kerepek di Pasar Kedai Payang masih mampu tersenyum melayan pelanggan yang menjengah ke gerainya. Kerana dia redha akan takdir kekurangan dirinya. Kerana dia mencari rezeki yang diredhai oleh Penciptannya.

Walau siapa pun kita, walau apa pun yang sedang kita hadapi, redhalah dengan apa sedang kita kecapi. Dengan keredhaan itu, maka akan berputiklah kesyukuran. Sesungguhnya bersyukur itu akan menambahkan kekentalan hati yang sedang tabah dan bersabar.

Namun bukanlah redha itu bermaksud kamu berputus asa dan malas berusaha! Redha itu adalah kunci untuk kamu berbahagia walau dalam apa pun ketentuan-Nya. Wallahu ‘alam.





Tuesday, April 5

Dedikasi Khas

Entri ini saya tujukan khas buat seorang teman yang cukup istimewa. Istimewanya bukanlah kerana kami ini mempunyai hubungan istimewa ala-ala Romeo dan Juliet. Jauh sekali persis Laila dan Majnun.

Istimewanya dia adalah kerana kewujudannya sendiri.

Saya mengenali dia semenjak zaman kanak-kanak lagi. Sungguh, sejak mula mengenali beliau, saya kagum dengan keperibadiannya, kecerdasan akal nya dan kelembutan tutur susila nya.
Saya yakin dan pasti, dia akan menjadi sosok yang akan memberi sumbangan signifikan kepada masyarakat. Bangga tak terkata apabila mendapat khabar yang dia diberi tawaran istimewa belajar ditahap tertinggi dalam pendidikan formal, iaitu kedoktoran. Oh ya, dia tak perlu melalui peringkat sarjana. Sarjana itu hanyalah kacang bagi dia.

Mungkin kamu tertanya-tanya, kenapa dia diberi keistimewaan ini? Jawapannya mudah, keran dia adalah insan yang istimewa.

Namun akhir-akhir ini, saya agak runsing melihat teman saya ini terumbang ambing dipukul badai kehidupan. Hendak saya tumpangkan beliau ke dalam kolek saya, tiadalah cara. Kolek saya ini pun masih terhuyung hayang dibadai ombak dugaan.

Terlihat keringat dan kerutan putus asa pada raut wajahnya. Saya tertunduk sayu. Mengapa dia tidak yakin akan kelebihan dan keistimewaan yang dia ada? Sedangkan saya yakin dan optimis, ke muara jua destinasinya nanti.

Saya percaya kepada dia, lebih dari dia percayakan dirinya sendiri.

Alangkah baik jika dia yakin dan percaya, yang dia pasti akan berjaya

Dan alangkah baiknya jika dia tabah dan tidak berputus asa.

Andai kata memang sudah takdir dari azali, yang dia akan kecundang di medan itu. Tidaklah sekali-kali saya akan berduka. Kerna saya tahu, dia telah berjuang sehabis kudratnya. Namun hancur luluh hati ini, jikalau dia mengalah dipertengah jalan. Melabuhkan sauh tatkala sedang di pelayaran.

Walau hidup kadang tak indah, Walau langit kadang tak cerah.
Bersabarlah, mentari pasti bersinar. Senyumlah, kerana itu adalah penawar.
Allah tahu apa yang ada didalam hati kita, didepan jua dibelakang kita.
Berusahalah, bertawakkalah. Kejayaan itu pasti didalam genggaman kamu jua.

Selamat Hari Lahir.


Monday, February 7

Revolusi anak muda melawan tirani



*Sila baca entry ini sambil mendengar lagu Revolusi: Bunkface

Revolusi. Yeah aku tersangatlah teruja apabila bercakap tentang revolusi. Entah mengapa, sedari usia awal remaja (kini masih remaja tetapi lewat remaja), aku cukup tertarik dengan revolusi. Dari sekolah lagi kite telah diperkenalkan dengan revolusi. Iaitu revolusi perindustrian di Eropah.

Tetapi revolusi perindustrian tidak lah cool. Revolusi yang cool bagi aku adalah revolusi untuk menjatuhkan sesuatu pemerintahan, dinasti, atau diktator.

Dan aku tersangatlah menghargai jasa pak cik Google dan took-toko buku yang menyediakan segala mak nenek cerita tentang revolusi-revolusi yang telah berlaku diseluruh dunia. Cerita yang pasti kita tidak akan dapat dalam buku teks sejarah tingkatan satu mahupun buku subjek Kenegaraan di peringkat universitas. Mana nak dapat derr? Cerita kemerdekaan sendiri pun tak tahu. Hari-hari kena tipu. Setakat baca buku sejarah untuk SPM, tak payah cakap banyaklah, Soalan SPM tak tanya bila Hari Hartal berlaku. Apa itu Perlembagaan Rakyat. Siapa Rejimen Askar Melayu Ke-10. Kesian kitakan? Sila Tanya Professor Dr Google.

Sedikit lontaran persoalan, korang percaya ke perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu tidak menumpahkan setitik darah pun? Korang percaya ke yang UMNO sahaja yang menjadi hero dalam menumbangkan British? Sendiri jawab ok.

Hah! Pastinya entry ini didedikasikan buat anak-anak muda Tunisia yang telah menjayakan Revolusi Jasmin. Dan juga buat jutaan anak-anak muda Mesir yang sedang berjuang di atas jalanan bagi menjayakan Revolusi Kemarahan rakyat Mesir. Semoga Berjaya! Aku begitu terinspirasi dengan kejayaan anak-anak muda Tunisia Salut buat mereka. Dan sekalung doa buat yang telah gugur. Namun, gugurnya mereka bertilamkan kemenangan bagi rakyat marhein.

Bagaimana sesuatu revolusi terjadi? Senang sahaja. Apabila rakyat ditindas sehingga mendesak mereka untuk bersuara. Apabila demokrasi tidak lagi mewakili suara mereka, apabila pemimpin sibuk membolot dan merompak harta Negara, maka waktu itu rakyat akan mengadakan pilihanraya di atas jalan raya. Dah nama pun pilihanraya, patutnya atas jalan raya la kan? Haha.

Tapi orang cakap kan ada demokrasi. Kenapa tak guna saluran yang betul? Ok. Cuba Tanya soalan itu kepada rakyat Tunisia mahupun rakyat Mesir. Kompem kene ketuk ngan sepanduk. Tak pun kene ludah kat pipi belah kanan. Hakikatnya, demokrasi belum terbukti mampu memberi keadilan kepada rakyat jelata. Tengok sahaja negara yang ribuan tahun mendokong demokrasi seperti Amerika. Masih ada golongan rakyat yang tertindas.

Orang kata rakyat yang berbagai bangsa ini susah nak bersatu. Memang susah. Tapi tidak mustahil. Jadi ramailah kang kong memberi cadangan macam mana hendak menyatukan rakyat. Dari segi bahasalah, pendidikanlah. Namun mereka terlepas pandang suatu perkara. Ini juga hakikat. Rakyat berbilang kaum akan bersatu padu apabila ketidakadilan berlaku. Ketidakadilan mahupun penindasan tidak akan mengenal warna kulit.

Kenapa anak muda? Yes, anak muda adalah kunci atau picu kepada revolusi. Anak-anak muda lah yang akan berada dibarisan hadapan. Menjadi pelawan tirani. Kalau kita kaji semua revolusi yang telah terjadi diseluruh dunia, dari Revolusi Islam di iran mengunjur kepada Revolusi Bolivia (anak-anak muda yang pakai baju Che Guevara sila ambil tahu kisah revolusi ini!) sehinggalah revolusi jasmine di Tunisia…Ish, jauh sangat tu. Kite lihat sebelah dah la, revolusi mahasiswa di Indonesia. Nama pun revolusi mahasiswa, tentu-tentu anak-anak muda yang memulakannya. Mahasiswa Indonesia telah menjatuhkan rejim Seoharto yang dikatakan sangatlah berkuasa. Tolonglah baca kisah revolusi ini, ia tersangatlah menarik dan menyayat hati. Sila lah buat sedikit homework. Sambil-sambil mencari gambar lucah artis Malaysia, boleh juga google tentang kisah ini.

Oleh itu para pemimpin, silah tindas rakyat ye. Silalah naikkan harga barang. Dan silalah tinggikan kadar pengangguran. Tunggulah, “hari itu” bakal berlaku. Ingat, rakyat yang menaikkan kamu. Dan rakyat jualah yang mampu menjatuhkan kamu.

Oklah, letih dah menaip. Nanti aku merepek panjang-panjang bukan korang faham pun. Aku cakap pasal capitalism korang duk faham pasal panty liner dan keputihan. Hadoi…Dah lah. Choww..!

Friday, January 21

Kapitalism dan Manipulasi Wanita.



Umum tahu kapitalism berkiblatkan keuntungan maksimum. Maka, perkara-perkara lain seperti kebajikan awam, tanggungjawab social  dan perikemanusian tiada tertulis dalam rukum iman kapitalism.

Umum juga mengetahui seluruh dunia sekarang ini sedang didominasi oleh para kapilatis-kapitalis. Siapa dia kapitalis? Kapitalis adalah kaum pemodal yang mempunyai harta kekayaan yang menggunung. Kaum-kaum ini sentiasa berfikir untuk mewujudkan seberapa banyak peluang untuk mereka mencipta lebih banyak kekayaan.

Akhirnya kaum cukong (kapitalis) ini terjumpa lubuk kekayaan yang tiada jangka hanyat iaitu dengan memanipulasikan sejenis kaum yang paling lemah; iaitu wanita.

Mungkin ada yang tersinggung dengan kenyataan ini terutamanya activist-aktivist hak asasi wanita. Namun itu adalah hakikat. Tidak percaya? Buktinya wanita tidak boleh meniru kaum lelaki membuang air kecil secara berdiri. Ok. Mungkin contoh ini agak lemah. Dalam Islam, wanita diletakkan ditempat yang mulia dan tinggi. Kerana apa? Kerana mereka lemah dan mesti dilindungi. ( Puas hati?)

Oleh kerana kelemahan itu, para cukong telah memanipulasikan kaum wanita sejak beratus-ratus tahun dahulu. Dan industri yang paling tua wujud dimuka bumi ini ialah industri pelacuran.

Kini pada tahun millennium, industri kecantikan, fesyen, dan apa sahaja yang berkaitan dengan wanita, adalah industri yang menyumbang paling banyak keuntungan kepada kaum cukong. Sedarkah anda bahawa wanita sedang dimanipulasi dan akan terus kekal sebegitu?

Rancangan mereka bermula dengan era mengidolakan selebriti. Selebriti-selebriti ini diangkat, dipuja, dan dikatakan paling cantik serta sempurna dari segala segi. Maka, pada hari ini, setelah kita di brainwash berhari-hari, kita, baik lelaki mahupun wanita, telah menerima secara tidak sedar bahawa selebriti-selebriti ini adalah model kecantikan manusia yang sebenar.

Ramailah wanita cuba menjadi seperti mereka. Mahukan rambut seperti mereka. Kulit mulus seperti mereka. Buah dada seperti mereka. Ketiak putih dan tidak berbulu seperti mereka. Disinilah cukong mula memasukkan jarum mereka melalui penghasilan produk-produk kecantikan dan fesyen pakaian yang kadang bila kita fikir-fikirkan, apekejadahnya pakai macam ni?

Ya. Jika difikirkan secara logic akal, kenapa perlu memakai kasut yang bertumit tinggi? Nak jalan pun susah. Dan menurut kajian, boleh membawa kesan buruk kepada pemakainya. ( Sila google. Jangan malas!). Tapi semua itu diterima secara paksa kerana selebriti-selebriti idola mereka juga memakainya.

Dah nampak apa sebenarnya yang saya cuba sampaikan? Oh, seperkara lagi. Perasaan atau tidak, kenapa underwear kaum wanita mesti berwarna cerah dan mudah sangat nampak apabila terkena kotoran? Kenapa underwear lelaki biasanya berwarna gelap?

Hahah! Ini teori saya. Sejak industri pakaian dalam diwujudkan, mereka telah bersepakat untuk menghasilkan underwear yang bewarna cerah. Kenapa? Kerana mereka tahu, vagina wanita biasa berpeluh dan mengeluarkan cecair yang akan menyebabkan panties mereka kotor. Mereka sangat tidak selesa untuk menjemur panties yang kotor pada bahagian itu. Lalu mereka akan cuba menyental panties ini setiap kali mereka membasuhnya. Penyentalan itu menyebabkan fabriknya yang nipis akan mudah koyak.

Bila koyak, kene beli yang baru. Sebab itulah wanita ini kerap kali shopping underwear! Lagi satu, bila terbeli panties yang mahal, tentulah sayang apabila terpaksa disental untuk menghilangkan kotoran itu. Kaum pemodal pun mencipta suatu lagi produk, pantyliner! Konon-kononnya untuk mengelakkan panties kamu kotor, kamu kene pakai pantyliner. Nampak tak? Kalaulah panties kamu bewarna gelap seperti kaum lelaki, kamu tidak akan kesah untuk menyental kesan kekotoran itu. Cukuplah sekadar kamu tahu ia bersih. Dan kamu juga tidak akan mengeluarkan belanja untuk membeli pantyliner.

Sedarlah. Kamu sedang ditipu dikiri dan kanan. Dah terbukti pantyliner atau pad yang kamu pakai itu boleh membawa kesan buruk kepada kamu (sila baca disini), namun kamu telah berada ditahap yang kamu terpaksa membelinya. Itulah kejayaan kaum pemodal. Hebat bukan?

Apa kesimpulannya? Kamu yang tentukan. Saya hanya berkongsi fikiran. 

* Sila lihat gambar ini.


Mereka tidak pernah mengenal apa itu coli, apa itu Payuda Atika Beauty. Namun mereka, dan suami mereka tetap merasakan mereka adalah cantik! 

Wednesday, January 19

Tumblr


Setelah sekian lama membiarkan blog ini berdebu sendirian, saya kembali aktif menulis.


Tapi kali ini bukan di blogspot tapi di tumblr. Bukan apa, saya tertarik dengan ciri-ciri nya yang lebih ringkas dan mesra pengguna berbanding blogspot.


So harap-harap dengan keringkasan yang ada pada tumblr akan membuatkan saya bertambah rajin untuk menulis. Ameen...


Jadi pada semua follower dan blogger-blogger keras dalam, boleh follow saya di awangnano.tumblr.com.


Semoga dipermudahkan apa jua yang kamu sedang lakukan, dan semoga kita dipermudahkan Allah untuk mencari jalan keluar kepada apa jua kesukaran yang sedang kita lalui sekarang. Ameen..

Wednesday, October 6

Lihat itu, Pantai itu...

Aku sedang mengadap pantai tatkala menulis entry ini. Lama benar tidak menulis. Sibuk? Bukanlah alasan. But i'm not feeling like it. A lots of thing happend in the past few weeks. And life is getting more intersting to me.


Oh ya. Aku memang suka pantai. Semenjak lahir hingga ke hari ini, pantai, pasir, ombak dan hembusan bayu menjadi peneman setia, pendengar cerita suka dan duka. Aku banyak belajar dan pantai banyak mengajar aku erti kehidupan, erti ketenangan dan kedamaian.


Pantai
Sedangkan pantai lagi berubah, ini kan pula hati manusia. Benar. Pantai yang aku kenal waktu aku kecil telah berubah wajah. Pantai di sini semakin terhakis. Pantai di sini telah ditambak. Pantai di sini telah dibangunkan. Dahulu, tempat aku bermandi manda dibawah terik mentari. sekarang terpampang jelas amaran pihak berkuasa, DILARANG MANDI. Kasihan anak-anak masa kini.


Pepasir

Kalau dipandang dari jauh, kita tidak akan tahu bahawa pasir pantai yang memutih itu adalah komposisi berbillion billion partikel pasir. Jikalau diambil sebutir pasir dan dibawa pulang, tidaklah terjejas akan keindahan sesuatu pantai. Begitulah perumpamaan bagi diri aku, hanyalah sebutir pasir di pantai yang memutih.


Ombak

Bukan Ong Bak Tony Ja. Tapi ombak yang terhasil daripada pergerakan bayu laut dan bayu darat. Bunyi ombak menghempas pantai adalah irama yang paling mengasyikkan dan mendamaikan selepas suara ibu mendodoikan anaknya. Ombak memerlukan angin. Tanpa angin siapalah ombak. Angin jualah yang menentukan sifat sesuatu ombak. Jika ganas tiupan sang angin, maka ganaslah hempasan ombak menghentam pantai. Ombak itulah diumpamakan jasad kita. Angin itulah diumpamakan minda atau rohani kita.


Angin

Teringat kata-kata cinta dalam wayang "A walk to remember", "Our love is like the wind. You can never see it. But can always feel it". Benar. Begitulah kasih sayang. Tak nampak dimata. Tapi berkesan dihati. Hargai cinta selagi ada. Bercintalah selagi ada yang sudi. Selagi ada yang mahu mengerti.


Bebatuan

Sifatnya keras. Namun dek kesungguhan ombak dan tiupan angin, bebatuan tetap bisa dicorak-corakkan. Begitulah jua hati manusia. Sekeras manapun, pasti mampu dilembutkan dengan kesungguhan dan kasih sayang. Begitulah jua kejayaan, pasti mampu digapai dengan kesungguhan dan istiqomah.


Sesungguhnya, Allah menciptakan segala makhluk dilangit dan dibumi ini untuk manusia melihat, mentafsir dan berfikir. Disebalik penciptaan semua itu, tersemat pelbagai hikmah dan pengajaran. Kita Cuma perlu membuka mata hati dan mata insani. Oleh itu, belajarlah dari alam semulajadi. Mereka adalah guru yang tidak pernah lokek ilmunya.



Nota kaki: aku suka bersarapan di tepi pantai. Segelas kopi, mengadap ke laut. Menikmati matahari menyinsing, dan meraikan kehidupan. :)

Thursday, September 9

Salam Aidul Fitr


Alhamdulillah. Setelah sebulan kita bersengkang mata dan berhempas pulas melawan nafsu serakah kita, akhirnya Syawal menjelma menandakan kemenangan pada yang tekun menjalani ibadah puasa dan pelbagai ibadah yang lain.

Sesungguhnya, bagi yang memanfaatkan ibadah puasa sepenuhnya untuk memperbaiki diri dan kualiti ibadah, Ramadhon yang pergi akan meninggalkan seribu satu kenangan manis buat mereka. Lebih-lebih lagi bagi para pemburu Al-Qadar.

Mungkin bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini, kedatangan Syawal lebih diagung-agungkan berbanding kedatangan Ramadhon. Sudah menjadi tradisi turun temurun masyarakt kita, beraya sebulan. Terpulanglah. Itu hak masing-masing. Namun bagi yang mengerti, kedatangan Syawal disambut dengan perasaan sayu dan pilu kerana kedatangan Aidul Fitr menandakan keberangkatan pulang Ramadhon. Dan belum tentu kita akan ketemu kembali Ramadhon edisi yang akan datang. Teruskan berdoa supaya dipanjangkan umur dan disihatkan tubuh badan kita supaya Ramadhon yang akan datang bakal kita sambut dengan penuh keterujaan.

Masjid akan kembali lengang. Subuh dan Maghrib kembali di anak tirikan. Tapi sekurang-sekurangnya pada yang mengimarahkan rumah Allah pada bulan Ramadhon, syabas dan tahniah diucapkan.

Juga menjadi tradisi masyarakat Melayu Islam, kita bermaaf-maafan di Aidul Fitr. Jadi dikesempatan Syawal edisi tahun ini, saya ingin memohon ampun dan maaf buat semua teman-teman dan pembaca blog Dari Luar Tempurung. Maaf juga dipohon kerana saya tidak giat menulis pada bulan Ramadhon dek kerana kesibukkan mengasuh Ayahanda tercinta yang sedang gering. 

InsyaAllah selepas ini saya akan kembali aktif menulis dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang blogger tegar.

Allahuakhbar...Allahuakhbar...Walillahilhamdu.

Thursday, August 12

Panas Terik


Ramadhon menurut terjemahan harfiah bermaksud "panas terik". Kebiasaannya, memang cuaca dibulan Ramadhon panas dan kering. Dan pabila meniti minggu pertama Aidul Fitr, biasanya hujan.Alhamdulillah. Ku panjatkan jutaan kesyukuran kepada tuan punya dunia, Allah S.W.T kerana diberi peluang untuk merasai Ramadhon pada tahun ini.

Agak lama tak mengemaskini blog ini. Kebelakangan ini saya tersangat sibuk menguruskan Ayahanda tercinta dihospital. Alhamdulillah, Ayahanda telah dibenarkan pulang. Namun masih jauh untuk sembuh sepenuhnya. Mengimbau kembali kenangan Ramadhon tahun lepas. Saya dan bonda tercinta berpuasa hampir sebulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu. Tidak pernah terlintas dek akal saya dan bonda akan menghabiskan hampir keseluruhan Ramadhon di hospital menjaga dan menguruskan Ayahanda yang sakit teruk.

Apabila ditoleh kembali kebelakang, mengenang susah payah berbuka, bersahur dan tidur dibawah katil hospital, saya hanya tersenyum. Sungguh luar biasa pengalaman yang Allah berikan buat saya. Sangat menginsafkan. Sangat menyentuh hati.

Satu perkara yang saya belajar sepanjang berpuasa di hospital ialah, mati itu adalah pasti. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Tidak kira kecil besar, tua atau muda. Dan hidup itu tesangatlah singkat. Hinggakan ada yang mengatakan hidup itu umpama senggang waktu antara azan dan solat. Kita lahir disambut dengan azan, dan kita mati nanti akan "diucapkan" selamat tinggal dengan solat.

Kalau kita mengerti betapa singkatnya hidup itu, nescaya kita akan manfaatkannya sebaik mungkin.

Hidup bukan sekadar untuk berhibur. Hidup bukan sekadar untuk mencari rezeki sesuap nasi. Hidup bukan sekadar menghabiskan seumur usia membayar hutang-hutang bank. Hidup adalah lebih daripada itu. Ayuh, marilah kita sama-sama mencari erti hidup di dunia ini.

Bagi yang tekun menjalani ibadah puasa, selamat berpuasa diucapkan. Bagi yang hanya berpuasa mengikut trend, selamat berpuasa juga diucapkan. Semoga Ramadhon kali ini tidak akan berlalu begitu sahaja seperti tahun-tahun sudah. Semoga Allah menerima ibadah puasa kita, dan semoga ibadah puasa kita ini akan dapat membantu kita di padang Mahsyar kelak.

Sedikit peringatan, dalam kita ghairah menjalani rukun Islam ketiga ini, janganlah diabaikan rukun Islam kedua yakni Solat. Sesungguhnya berpuasa tanpa bersolat umpama membina rumah tanpa tiang. Akhir kata, berhati-hati di jalan raya. Jangan gopoh untuk mengejar waktu berbuka! Sepanjang Ramadhon ini jalan raya kita akan bertukar menjadi lebih bahaya daripada Falujah mahupun Ghaza! Jadi berhati-hatilah. Ingat yang tersayang sedang menunggu kepulangan kita di rumah.

Salam Ramadhon Kareem.

Friday, July 23

Petrol dan Dominasi Dunia




Kereta pertama yang dipatenkan menggunakan petrol sebagai bahan bakar dicipta oleh Karl Benz pada tahun 1885. Karl Benz kemudiannya menjadi pelopor kepada penubuhan dan kewujudan Mercedez-Benz. Dan penciptaan kereta berkuasa petrol ini telah mengubah landskap dunia sehingga ke hari ini.

Dengan terciptanya sebuah enjin yang berkuasakan petrol, dunia telah mengiktiraf bahawa petroleum adalah suatu sumber semulajadi yang sangat berharga sehingga digelar "emas hitam". Sebelum kewujudan enjin berkuasa petrol, tiada seorang pun manusia pernah terfikir untuk melabur berbillion wang untuk melakukan kerja gila mencari gali petrol di dasar laut. Negara-negara tandus seperti Negara Timur Tengah tidak akan menjadi kaya tak ingat jika enjin berkuasa petrol tidak tercipta.

Kenapa agaknya enjin ini mesti menggunakan petrol? Sebagaimana yang kita tahu, sebelum ini telah wujud enjin menggunakan wap air atau stim. Ok lah, mungkin enjin stim tidaklah begitu praktikal untuk direvolusikan menjadi kereta. Macam mana dengan enjin elektrik? Tahukah kamu bahawa enjin elektrik tercipta sebelum enjin petrol? Gustave Trove telah mencipta kereta beroda tiga menggunakan enjin elektrik pada tahun 1881. Namun, tiada siapa yang pasti apa yang berlaku kepada ciptaan beliau.

Yang pasti, kereta berenjin petrol terus berkembang menjadi industri automotif pada hari ini.
Pada kurun ke 18 dan 19, seluruh Eropah sedang mengalami revolusi perindustrian. Pada waktu ini pelbagai ciptaan dan penemuan baru muncul di Eropah selaras dengan permintaan industri yang sedang meningkat. Dan pada zaman ini juga menyaksikan kebangkitan suatu bangsa yang telah lama dipinggirkan dunia, iaitu bangsa Yahudi. Bangsa Yahudi telah merancang suatu propaganda besar besaran iaitu "world domination". Ini terbukti apabila Protocol of the Elders of Zion bercetak dalam bahasa Russia mula muncul pada tahun 1903.

Protokol ini mendedahkan bahawa Yahudi ingin mendominasi dunia dengan menggunakan ekonomi sebagai boneka utama. Oleh itu, mereka perlu mendominasi suatu sumber utama yang menjadi penggerak sesuatu ekonomi. Disinilah mereka melihat bahawa petrol atau "emas hitam" adalah alat yang tersangat efektif untuk mengawal ekonomi dunia. Sebab itulah, petroleum "dirancang" dan "diatur" supaya menjadi keperluan utama peradaban moden. Jika dikaji, penggunaan petroleum sebagai bahan bakar bukanlah alternatif yang terbaik. Petroleum menghasilkan gas Karbon Monoksida yang sangat berbahaya dan mencemarkan udara. Tentulah elektrik adalah sumber yang terbaik untuk menggerakkan enjin.

Namun jika hari ini dunia menggunakan enjin elektrik sepenuhnya, maka tidak akan wujud perang di Afghanistan dan Iraq. Dan cita-cita Yahudi untuk mengawal ekonomi dunia tidak akan tercapai. Elektrik senang untuk dihasilkan. Dan setiap negara di dunia ini berkemampuan untuk menjana tenaga elektrik sendiri.

Pelbagai strategi telah diatur oleh Yahudi supaya dunia pada hari ini akan bergantung pada petroleum. Perang dunia pertama telah dirancang untuk menjatuhkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Dan kejatuhan empayar Islam terakhir ini telah memudahkan lagi perancangan Yahudi. Yahudi telah merasuah gabenor-gabenor tanah jajahan takluk Uthmaniyyah supaya belot kepada Sultan Mehmet VI. Setelah Empayar Turki tersungkur dan Republik Turki ditubuhkan oleh Mustafa Kemal, gabenor-gabenor korup tersebut telah dilantik menjadi raja kepada negeri seliaan mereka. Dari situlah bermula asal silah Raja Negara-Negara Arab pada hari ini.

Raja-raja ini telah menjadi sekutu rapat Yahudi dengan menjual hasil petroleum kepada mereka. Pemodal-pemodal Yahudi kemudiannya menubuhkan konglomerat gergasi seperti Shell dan BP untuk mencari gali petroleum. Pada mulanya telaga-telaga minyak hanya ditemui di padang pasir yang kering kontang. Dan saat Yahudi mengumumkan akan mencari gali minyak di dasar lautan, seluruh dunia menggaru kepala.

Seperti kita tahu, bangsa Yahudi telah mula mengkaji Al-quran sejak beratus-ratus tahun dahulu. Ajaibnya, Al-Quran yang berusia lebih pada seribu tahun telah menyebut tentang petroleum dalam Surah Al-A'la ayat 4-5:

وَالَّذِي أَخْرَجَ الْمَرْعَى
Dan (Allah) telah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
فَجَعَلَهُ غُثَاء أَحْوَى
Dan Dia menjadikannya kering hitam.




Untuk membaca dengan lebih lanjut tentang kisah petroleum di dalam Al-Quran ini, sila baca disini.



Jadi sekarang fahamkah anda bagaimana Yahudi mendominasi dunia? Sekarang fahamkah kenapa setelah beratus-ratus tahun kereta dicipta, tiada satu pun usaha untuk merealisasikan kereta berkuasa elektrik oleh taiko-taiko pengeluar kereta di dunia? Sehinggalah pada mutakhir ini, Nissan mengumumkan kereta elektrik pertamanya iaitu Leaf. Akhirnya, dunia mula menyedari akan kebejatan kita kerana terlalu bergantung kepada petroleum sebagai nadi penggerak ekonomi dunia.

Semoga suatu hari nanti kita dapat memecah dominasi pemodal-pemodal Yahudi ini dengan rekaan kerata nasional pertama menggunakan enjin elektrik. Apabila tiba saat itu, Petronas dah tak relevan. Nak buat apa jadi negara pengeluar yang kaya raya sedangkan rakyat mengemis nak isi minyak. Bila? Tiada siapa yang tahu. Enjin 2.0 pun tak mampu nak buat lagi...Tunggu...Dan tunggu...

Sampai bila mau tunggu daa...






Friday, July 16

Jumaat sini, Jumaat sana



Jumaat sini harinya cuti. Bangun pagi-pagi pergi beli nasi dagang atau nasi minyak untuk buat sarapan. Pergi pantai, hampar tikar buruk, bersantapan di gigi ombak. Sambil memuji keindahan panorama matahari menyinsing. Sendawa halus dibawa angin pantai yang ayu menyapa pipi.

Jumaat sini, gotong royong masjid. Anak-anak muda berseluar jeans koyak berlenggang-lenggok menari bersama penyapu dan penyedok sampah. Dipunggah semua isi longkang, disapu seluruh dewan sembahyang. Setelah kepenatan, air bandung menjadi pembasah tekak yang kekontangan. Sambil berborak kosong dengan poket yang kosong, kuih-kuih tradisi menjadi hidangan.

Jumaat sini, sang ayah memimpin tangan si kecil. Tercungap-cungap langkah si kecil mengikuti irama langkah besar sang ayah. Berduyun-duyun insan mengatur langkah ke masjid, ada yang asing hadirnya, ada yang sentiasa hadirnya. Langkah diatur penuh tenang, tiada kekalutan, tidak berkejar-kejaran.

Jumaat sini, khutbahnya berskrip. Khatibnya ada kala tergagap-gagap cuba melembuti lidah yang semakin keras. Isi skripnya selalu kosong, terkadang melopong. Jemaah nya sunyi, tiada langsung kedengaran walau sayup-sayup suara anak-anak berlari-larian.


 

Jumaat sana harinya bekerja. Bangun pagi bersarapan ala kadar. Melangkah ke kantor bersama tiket tol ataupun touch n go. Sambil mengagumi keindahan susunan kenderaan. Asap lori dan bas menjadi haruman badan.

Jumaat sana, masjidnya kosong. Tiada bergotong royong. Yang mundar mandir hanyalah AJK masjid dan penjaja ubat kuat yang setia dibawah payung. Minuman dan makanan? Sekali sekala adalah kawan yang tolong payung. Mau hari-hari? Tak dapek den nak nolong.

Jumaat sana, si kecil berjalan sendirian. Terbongkok -bongkok menggalas bagasi yang lebih besar dari tuan. Ayah dan bonda sibuk mencari nafkah seharian, tinggallah si kecil berlari larian. Yang bertali leher berseluar slack, melangkah luas, kalut mengejar waktu lunch. Takut nanti tak sempat nak bedal nasi sepinggan.

Jumaat sana, khutbahnya lantang. Khatibnya lancar melontarkan ayat-ayat dan perkataan. Isi bermanfaat untuk dibuat hidangan, tapi sayang anak-anak kecil masih berkejar-kejaran, tanpa ada tangan yang cuba menghalang.


 

*Dah tiba masanya kita selaraskan cuti hari Jumaat, sepertimana kita selaraskan harga minyak dan gula.

Tuesday, July 13

Amalan Bangun Dari Tidur



Tahu tak betapa pentingnya kita mulakan hari kita dengan semangat positif? Tahu tak yang mood kita apabila bangun pagi akan mempengaruhi mood kita seharian? Dan tahukah anda apa rahsia untuk kekal ceria, positif dan bertenaga sepanjang hari? Ini ada sedikit tips yang saya amalkan dan terbukti membantu saya untuk sentiasa positif dan ceria sepanjang hari tak kira apa yang akan berlaku. Yang penting, kita bangun pagi pergi kerja dengan senyuman, kita pulang pun dengan senyuman.

Amalan Sesudah Bangun dari Tidur:
  1. Susah nak bangun pagi walaupun dah tidur awal? Senang sahaja. Kunci jam sebanyak yang mungkin! Kalau jam loceng tak membantu, kunci jam telefon bimbit sekali. Kalau tak jadi juga, tambah lagi jam loceng. Kalau tak jadi jugak, letakkan bom C4 kat bawah bantal. Pasti akan bangun sepantas kilat.
  2. Baca doa bangun tidur, panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang sekali lagi untuk menghirup udara di atas muka bumi Nya ini.
  3. Sesudah bangun, geliat. Berdiri depan cermin dengan muka ketat dan rambut berserabai, senyum selama beberapa minit. Menurut kajian, senyuman ini akan menghantar isyarat kepada otak untuk merembeskan hormon-hormon yang akan menyebabkan kita rasa ceria dan positif.
  4. Lakukan sedikit senaman meregengkan badan. Supaya otot kita menjadi longgar dan senang untuk kita memulakan aktiviti seharian. Dan senaman yang paling power ialah Solat Subuh dua rakaat.
  5. Sebelum gosok gigi, minum air suam segelas. Ia akan membantu mengoptimumkan sistem pencernaan dalam badan kita.
  6. Bersarapan. Jangan sekali-kali skip sarapan kerana sarapan sangat penting kepada badan kita. Tak perlu ambil sajian yang berat. Memadai hanya dua biji telur separuh masak dan jus buah buahan.
InsyaAllah, kalau kita amalankan selalu, akan ada orang yang bertanya, "Aku tengok kau ni ceria je sentiasa. Apa rahsianya ya?". Selamat mencuba! :)

Thursday, July 8

Mansuhkan UPSR dan PMR







Mutakhir ini kedengaran syor supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan. Jadi ramailah pihak yang memberi pendapat dan pandangan. Ada bersetuju dan ada juga tidak bersetuju. Pastinya, taukey-taukey pusat tuisyen akan kecut perut dengan berita ini. Periuk nasi mereka bakal ditabur pasir. Begitu juga pembikin buku-buku kerja, soalan-soalan peperiksaan lepas dan penerbit buku rujukan. Pasti ada kedengaran Sasbadi atau Pelangi akan kerugian besar.

Itulah realiti di negara ini. Pendidikan menjadi sebuah perniagaan. Bak kata orang putih, "Education is wise business".

Ramai berhujah, tidak wajar dimansuhkan kerana bimbang nanti pelajar tiada arah tuju dalam mengharungi hari-hari di sekolah. Ye lah, dah tak ada exam, nak buat apa lagi ke sekolah? Sejujurnya, anak-anak kita tidak tahu kenapa harus ke sekolah. Tapi mereka hanya tahu, setiap peperiksaan yang ada mestilah dijawab dengan sebaik mungkin untuk mendapat markah yang tinggi. Begitulah juga yang belajar sampai peringkat ijazah sekalipun, hanya tahu mau lulus. Dengan harapan, masa depan mereka lebih terjamin.

Kita sebenarnya masih jahil kerana masih belum memahami hakikat pendidikan itu bukanlah semata-mata cemerlang dalam peperiksaan. Pendidikan itu adalah bertujuan untuk membentuk individu berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Ini termaktub dalam klausa Falsafah Pendidikan Negara.

Nah, sejauh manakah peperiksaan itu relevan dengan falsafah ini? Apakah dengan peperiksaan semata-mata kita dapat mencapai hasrat murni pendidikan negara kita ini?

Sudah terbukti yang sistem pendidikan kita hanya melahirkan anak-anak muda yang tinggi IQ nya tetapi rendah EQ nya. Hari ini, IQ tidak mampu memjamin kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian negara. Lihatlah keruntuhan akhlak dan moral anak-anak muda kita. Tak kira di sekolah atau di peringkat pendidikan tinggi, keruntuhan akhlak dan moral masih membarah.

Pendapat saya, bukanlah sahaja UPSR atau PMR perlu dimansuhkan, tetapi seluruh sistem pendidikan kita perlu rombakan atau penilaian semula. Kita memerlukan suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan insan yang bukan sahaja tinggi intelektual, tetapi juga tinggi akhlak dan keperibadiannya. Bukannya pendidikan pembodohan. (Baca disini)

Supaya nanti, generasi ini akan lahir sebagai politikus yang jauh pandangannya dan tajam pemikirannya. Politikus seperti ini akan melantik pegawai kerajaan yang amanah dan tidak korup. Pegawai kerajaan yang seperti ini akan menyelia penjawat awam yang berjati diri dan tinggi akhlaknya. Dengan ini semua, kita akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Nampak tak betapa pentingnya institusi pendidikan ini?

Monday, July 5

Pelaburan paling menguntungkan!




Manusia dilahirkan ke dunia ini seumpama sehelai kain putih yang suci. Kain putih yang kosong. Bermakna, kita dilahirkan ke dunia penuh dengan potensi. Kita juga dilahirkan dalam keadaan yang sama. Kita menangis dengan tangisan yang sama. Tak kira siapa, apa bangsa mahupun keturunan. 


Tapi mengapa setelah kita menjadi dewasa, ada yang berjaya, ada juga yang tersungkur kalah? Ada yang bangkit melawan, dan ada yang terpuruk kesedihan? Banyak faktor yang harus diambil kira. Faktor persekitaran kita membesar, ibu bapa, pendidikan dan sebagainya. Namun, semua faktor tersebut adalah sejarah. Telah berlaku. Tiada apa yang boleh kita lakukan. 


Ada yang menyalahkan takdir. Nak buat macam mana. Dah takdir aku dilahirkan dalam keluarga miskin. Dah takdir aku dibesarkan dalam keluarga yang berpecah belah. Tahukah kamu kejayaan itu tidak mengenal siapa kamu. Bagaimana keluarga kamu. Setinggi mana pendidikan kamu. Tak percaya? Bacalah kisah-kisah orang-orang yang berjaya dalam hidup. Tidak semua lahir dalam keistimewaan dan bernasib baik. Itu adalah alasan orang-orang yang berputus asa dengan hidup. Berputus asa dengan rahmat dan hidayah Allah. 


Pokoknya sekarang sejauh mana kita mahu berubah. Sejauh mana kita mahu berkorban dan berusaha untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Tapi sebelum kamu mengimpikan sesuatu kejayaan, kamu harus mengerti apa itu "kejayaan". Kejayaan yang semacam mana yang kita mahukan. Kitalah yang akan meletakkan penanda aras kejayaan kita. Lain orang, lain lah standardnya. 


Kita selalu cakap tentang pelaburan. Sedarkah kita bahawa pelaburan yang paling penting adalah pelaburan terhadap diri sendiri. Itulah juga pelaburan yang paling menguntungkan! Pelaburan terhadap diri sendiri ialah pelaburan untuk pembangunan diri. Kita sibuk mengejar tangible asset, tapi kita lupa akan intangible asset. Contoh-contoh intangible asset ialah seperti self-confidence, communication skill, dan sebagainya. Senang cerita la, kita tak dilahirkan sebagai highly motivated person, kita tidak dilahirkan sebagai seorang yang optimistik, kita tidak dilahirkan dengan skill untuk bercakap dengan semua orang! Jangan lupa bahawa kita dilahirkan seumpama kain putih. 


Kemahiran-kemahiran tersebut kita tidak akan dapat dalam pembelajaran formal. Jadi macam mana nak dapatkan kemahiran dan ilmu ini? Tentulah kita kena berguru. Guru yang paling utama adalah mentor. Kalau kita ada mentor yang hebat dan berjaya, bersyukurlah. Guru yang kedua adalah buku. Buku ini seperti pengganti guru. Guru yang ketiga adalah seminar, bengkel atau ceramah tentang soft skill. Sekarang dah banyak. Cari sahaja di internet. Macam-macam seminar dianjurkan oleh pelbagai speker yang hebat-hebat. Dan guru yang terakhir ialah pengalaman. 


Kalau kita boleh berbelanja beribu-ribu sebulan untuk makan direstoran mahal, berhibur, atau hobi kegilaan kita, tak kan kita tidak boleh mengeluarkan sedikit wang untuk membeli buku-buku bermanfaat? Tak kan kita tak boleh luangkan sedikit masa untuk menghadiri seminar atau ceramah ilmiah? Kalau tak sanggup, malas, tak ada masa. Berhentilah bercakap tentang kejayaan.

Friday, July 2

Mana Jati Diri?



Jati diri. Apakah ia jati diri? Biasa sangat kita dengar. Selalu sangat kita jumpe dalam pelbagai penulisan. Jati diri menurut Kamus dewan ialah sifat atau ciri yg unik dan istimewa (dr segi adat, bahasa, budaya, agama dsb) yg menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dsb, identiti: pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan ~ bangsa dan semangat patriotik yg utuh; pengisian program kebudayaan ini penting bagi membentuk sahsiah dan ~ belia masa ini.

Ada faham ke? Kalau ikut kamus aku sendiri, jati diri ialah suatu perilaku yang terhasil daripada semangat cinta atau sayang terhadap suatu entiti yang penting dalam hidup kita. Contohnya, cintakan negara. Dari dulu aku perhatikan masyarakat kita ini, termasuk empunya diri sangatlah rendah jati diri. Buktinya kita boleh tengok disekeliling kita.

Bahasa

Dari segi bahasa, rasanya lagi 50 tahun, rakyat Malaysia tidak lagi bertutur dalam bahasa Melayu. Kalau berdasarkan keadaan sekarang lah. Namun jika ada usaha-usaha untuk kembali memartabatkan Bahasa Melayu sebagai lingua franca, mungkin kita boleh macam Kesultanan Melayu Melaka. Semua yang datang berdagang ke Pelabuhan Melaka pada masa itu tidak dapat tidak kena cakap Bahasa Melayu. Mat Saleh ke, pak arab ke, macha india ke, apek china ke, semua cakap Bahasa Melayu. Hari ini sesetengah isitilah harian seperti tandas dan telefon bimbit tersangat janggal untuk digunapakai. Kita lebih selesa guna istilah toilet dan handphone.

Bukan tak elok guna bahasa Inggeris ni. Tapi janganlah sampai mendaulatkan bahasa penjajah hinggakan bahasa ibunda di anak tirikan. Cuba bayangkan jikalau tulisan Jawi tidak dihapuskan, hari ini kita pergi mana-mana, semua papan tanda dalam tulisan Jawi. Kan gah nama nya tu. Macam kalau pergi Thailand, semua tulisan Siam. Pergi Jerman, semua tulisan Jerman. Barulah ada identiti.

Cuba menjadi orang barat

Suka mengagungkan apa sahaja yang datang dari luar. Semuanya hebat di mata kita. Asalkan ia berasal luar dari Malaysia. Terutamanya dari barat. Suka sangat ikut orang barat. Cara hidup orang barat, cara makan orang barat. Terkadang terlupa, kita ini orang timur. Orang barat yang datang sini nak tengok budaya orang timur yang katanya kaya dengan adat dan pekerti mulia. Kecewa, yang kelihatan hanyalah orang-orang timur yang cuba menjadi orang barat.

Berpakaian cara barat. Barulah dikatakan moden. Barulah dikatakan up to date. Tapi kalau kita lihat Jepun dan Korea. Mereka tak hairan pun dengan apa-apa yang datang dari barat. Mereka mendaulatkan bahasa mereka, berpakaian cara mereka, makan cara mereka, dan lihatlah di mana mereka sekarang?

Tiada identiti

Mungkin kita harus mengakui bahawa bangsa Malaysia sudah hilang identiti. Setelah lebih 50 tahun merdeka, kita masih dijajah dari segi pemikiran. Kita masih mencari-cari formula untuk mencapai integrasi dan keharmonian kaum. Sedarlah, bukan negara kita sahaja yang berbilang kaum. Amerika pun berbilang kaum, Indonesia pun berbilang kaum. Yang ajaibnya, mereka berjaya menyatupadukan pelbagai kaum menjadi satu rupabangsa.

Selagi kita masih melakonkan teater politik perkauman, selagi kita belum berbicara dengan bahasa yang sama, selagi itulah kita tidak akan ada jati diri. Kita sebagai individu tidak banyak yang dapat dilakukan. Semua tergalas dipundak para pemerintah. Terpulang kepada mereka untuk mencorakkan rupabangsa kita yang masih tidak berwajah.

Bukalah minda. Keluar dari pemikiran sempit dan jakun. Cintailah ilmu. Semoga dengan ilmu kita dapat keluar daripada belenggu pemikiran dunia ketiga. Aminn..

Thursday, July 1

Perangai Pelik di Malaysia


Ini bukan kisah dongeng. Ini juga bukan gossip murahan selebriti mengaji tak habis. Ini adalah realiti yang berlaku seharian dalam masyarakat kita. Rasanya semua orang perasan kejadian-kejadian ini, namun agaknya remeh dimata kita. Yang remeh tak semestinya temeh. Mari lihat perangai dan kejadian pelik di Malaysia.


  • Troli shopping Mall. Perasan tak troli-troli disekitar shopping mall. Memang masyarakat kita jenis yang malas tahap ular sawa kekenyangan. Ambik pandai, tapi bila dah guna tak reti nak letak balik tempat asal.



  • Tandas awam. Kadang-kadang kita kompius bila kita masuk tandas awam kat Malaysia ni. Tandas awam dah macam kandang lembu. Bau toksah cakap la. Dengan iklan-iklan gay mencari pasangan, pelacur mencari pelanggan, dan juga lukisan ala-ala kelucahan menghiasi dinding tandas awam. Rasanya kandang lembu lagi lawa kot. Lagi satu orang Malaysia ni suka mencangkung atas tandas duduk. Agaknya kalau tak mencangkung tak keluar tinja diorang kot. Patut kene hapuskan tandas duduk ni. Buat tandas mencangkung je semua.



  • Lampu hazard. Asal hujan lebat je mesti pasang lampu hazard. Entah sekolah memandu mana ntah diorang ni belajar. Aku pun tak faham kenapa kene pasang lampu hazard bila hujan. Fatwa ulama mana ntah diorang ni pakai.



  • Suka tengok orang accident. Setiap kali berlaku kemalangan jalan raya, mesti ramai-ramai pakat perlahankan kenderaan. Yang lagi best sampai berhenti untuk menebeng atau mengambil gamar untuk diposkan ke dalam facebook atau twitter. Yang lagi kurang hajau, ambik nombor plat kereta untuk tikam nombor. Yang lagi sadis, rembat apa-apa barangan peribadi mangsa kemalangan yang bernilai hatta cermin mata hitam berjenama Rayban Uptown.



  • Gopoh dan tak reti beratur. Samada kat jalan raya mahupun naik kenderaan awam.Jalan dua lane boleh jadi lima lane. Lepas tu berebut-rebut naik tren. Pakai smart macam mat ofis tapi perangai mengalahkan budak tadika Kemas.



  • Buang sampah merata-rata. Malas nak cakap dah. Semua dah maklum sangat dah perangai ni.



  • Parking. Kalau pergi mana-mana, mesti nak parking sedekat yang boleh. Kalau boleh nak parking depan main entrance ataupun depan lift terus. Malas nak berjalan. Takut lutut jem akibat terlalu banyak berjalan.



  • Masjid dan surau. Merata-rata, besar gedabak, canggih manggih, berukir sana berukir sini. Azan boleh dengar satu Malaysia. Tapi saf-saf kosong. Ajaib sungguh.



  • Kereta convert. Waja convert jadi Evo. Myvi convert jadi Passo. Kancil convert jadi Mira. Nak beli tak mampu, cukai Kerajaan untuk kereta import mahal sangat. Kononnya nak tolong industri kereta tempatan. Maka beli lah kereta-kereta buatan Malaysia, convert ala-ala kereta import. Jadi la.


Banyak lagi kejadian dan perangai pelik rakyat Malaysia. Kita cuma perlu buka mata seluas-luasnya. Perhatikan disekeliling. Memang banyak sangat. Kesimpulannya mudah, kita masih mundur. Mundur dari segi pemikiran. Kalau kita runtuhkan KLCC, KLIA, dan Litar Sepang, maka kita akan sedar yang kita ini masih papa kedana. Tiada apa yang boleh dibanggakan.

Nak bangga dengan apa? Rakyat yang berbilang kaum? Negara lain tak ada yang berbilang kaum ker? Makanan yang unik dan pelbagai? Negara lain makanan tak unik dan pelbagai ker? Sudahlah. Berhentilah menjadi bodoh dan terus diperbodohkan. Cubalah nilai ditahap mana kita berada sekarang. Mana kegemilangan institusi pendidikan kita? Mana pergi harta dan kekayaan tanah air kita? Mana dia hasil pemikiran cerdik pandai kita yang diiktiraf di mata dunia?

Cukuplah. Ayuh kita bangkit. Mulakan perubahan dalam diri. Dampingi ilmu dan kurangkan berhibur. Nescaya kita boleh ulang kembali sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails